Dalam sesuatu pertandingan bola sepak, semestinya pemain bagi setiap pasukan akan bermain sebaik mungkin untuk membantu pasukannya
mencapai kemenangan termasuklah pemain simpanan. Apabila wujudnya segelintir
pemain yang sebegini, menjadikan mereka ini pemain tumpuan dalam setiap
perlawanan hinggakan menjadikan diri mereka bintang dalam pasukan mereka. Menjadi pemain bola sepak berstatus bintang adalah harapan dan idaman bagi setiap pemain
sama ada pemain utama ataupun pemain simpanan. Itu sebabnya, kebanyakan
pemain-pemain yang hebat tidak suka apabila terlalu lama memanaskan bangku
simpanan. Lihat saja apa yang terjadi pada kelab-kelab yang dipenuhi
bintang-bintang. Akibat terlalu banyak membeli pemain-pemain baru yang berstatus
bintang, maka, pemain-pemain asal mereka yang juga berstatus bintang
mengugut untuk mencari pasukan baru apabila terlalu lama berada di bangku
simpanan. Dalam mindset mereka, apalah maknanya jika
dibayar dengan gaji yang lumayan tetapi hanya berada di bangku simpanan. Jelas,
mereka tidak dapat menyumbangkan kehandalan dan kehebatan mereka untuk pasukan
mereka apabila hanya menjadi pemain simpanan.
Begitu juga kepada sesiapa yang pernah
terjebak dalam permainan Football Manager. Dalam permainan ini, bagaimana tugas
seorang pengurus untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak. Jika terlebih
membeli pemain handalan, akan berlakunya ketidakpuasan hati di kalangan pemain
dan permintaan untuk meninggalkan pasukan yang lebih memberi peluang untuk
bermain. Itulah realiti yang berlaku dalam senario bola sepak. Tidak akan wujud
pemain yang lebih suka memanaskan bangku simapan dan berpeluk tubuh sahaja
berbanding mengerah keringat bertarung di pentas perlawanan.
Maka, bagaimana pula untuk menjadi dai'e
yang berstatus bintang? Adakah cukup hanya dengan menghadiri halaqah, daurah
dan program untuk dirinya sahaja? Atau adakah cukup dengan berpeluk tubuh dan
hanya menunggu perintah dakwah tanpa mempunyai inisiatif sendiri?
Sepatutnya, realiti ini tidak harus wujud di kalangan para dai'e di mana tidak
hanya menunggu arahan ataupun hanya melihat rakan-rakan sehalaqah bekerja
habis-habisan untuk berdakwah. Jika pemain bola sepak ditawarkan dengan
pendapatan yang lumayan sehingga ada pendapatan yang mencecah 1 juta US Dollar
seminggu, bahkan para dai'e ditawarkan dengan nikmat yang tiada tolok
bandingnya jika mereka bersungguh-sungguh melakukan kerja dakwah ini seperti
yang dilakukan oleh para Nabi dan para Sahabat.
Firman Allah: "Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah
yang paling dahulu (masuk syurga). Mereka itulah orang yang dekat (kepada
Allah). Berada dalam syurga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang
terdahulu. Dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. Mereka berada
di atas dipan-dipan yang bertakhtakan emas dan permata. Mereka bersandar di
atasnya berhadap-hadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap
muda. Dengan membawa gelas, cerek dan dan sloki (piala) berisi minuman yang
diambil dari air yang mengalir. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula
mabuk. Dan buah-buahan apa pun yang mereka pilih. Dan daging burung apa pun
yang mereka inginkan. Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah. Laksana
mutiara yang tersimpan baik. Sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan. Di
sana, mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan
dosa. Tetapi, mereka mendengar ucapan salam." (Al-Waqi'ah, 56: 10 - 26)
Firman Allah: "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat
pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan
dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu
diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan'." (At-Taubah, 9: 105)
Sebagai golongan yang beriman kepada
kitabullah, lihat sahajalah tawaran yang Allah beri dan jamin kepada golongan
yang berdakwah. Jika seorang pemain bola sepak sangat boring dan menyampah hanya dengan memanaskan
bangku simpanan, mengapa tidak kita sebagai dai'e menjadi begitu? Merasa boring dan menyampah apabila tidak melakukan
kerja dakwah dan giat mencari medan-medan dan kader-kader baru untuk kita bina
generasi baru yang dahagakan dakwah Islam ini. Ayuh para dai'e sekalian,
tinggalkanlah bangku simpanan yang telah begitu lama kita panaskan dan marilah
bersama-sama menjadi dai'e yang berstatus bintang yang menyinari alam ini
dengan kerja-kerja dakwah para Nabi.
Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal