Thursday, 5 September 2013

Siapa Pula Selepas Ini?

Palestin, Bosnia, Acheh, Chechnya, Kashmir, Tak Bai, Afghanistan, Iraq, Rohingya, Syria, Mesir... Apa samanya kesemua negara ini? Mereka ini majoritinya penduduk Islam tetapi...

Ditindas...
Dibunuh...
Wanitanya diperkosa...
Anak-anak kecil kehilangan ibu dan bapa...
Diperlakukan seperti binatang...
Hak mereka dirampas...


Mengapa ini berlaku pada negara Islam? Bukankah Islam satu-satunya agama yang diredhai Allah? Mengapa seluruh dunia memperlakukan Islam sebegini rupa dan umat Islam tidak mampu mempertahankan haknya?

Angkara siapa semua ini? Yahudi? Orang Kafir? Syiah?

Mengapa kita sibuk menuding jari kepada musuh Islam sedangkan kita sendiri tidak berbuat apa-apa? Memang itulah matlamat musuh Islam untuk melenyapkan Islam... Apa pula tindakan kita? Mengapa kita mudah menyalahkan pihak lain sedangkan kita sendiri langsung tiada usaha mempertahankan Islam. 

Masih lagi leka dengan urusan masing-masing...
Masih lagi leka dengan hiburan...
Tidak kisah meninggalkan solat dan perkara wajib yang lain...
Tidak rasa apa-apa apabila menjamah makanan di McDonald dan minum Coca-Cola...


Firman Allah: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara...” (Al-Hujurat, 49: 10)

Barangkali, ini perancangan Allah. Haruslah redha dan ambil peranan kita sebagai Muslim. Jika mereka itu saudara kita, apa peranan kita? Persaudaraan dalam agama itulah nilai yang paling tinggi. Persaudaraan yang membawa ke syurga, Insya Allah.

Habis sudah negara-negara Islam ditindas. Adakah kita dengan tenang melihat keadaan ini? Atau, adakah kita terfikir, negara mana pula selepas ini yang akan menjadi mangsa? Adakah negara kita? Tidak mustahil ianya berlaku.....

Thursday, 20 June 2013

Kapsul Al-Kahfi

Firman Allah: "(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.'" (Al-Kahfi, 18: 10)

Tarbiyah Allah yang melahirkan pemuda-pemuda yang diceritakan di dalam al-Quran menggambarkan bahawa itulah tarbiyah yang sebenar. Begitu juga tarbiyah yang melahirkan remaja kental pada zaman Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam. Maka, kelompok pemuda dan remaja ini, bukanlah kelompok yang kita gambarkan sebagai hingusan dan tidak matang, sebaliknya, jika mereka ini dijaga sebaik-baiknya, maka akan menjadi generasi yang unggul pada masa hadapan.

Merujuk artikel sebelum ini, http://futuwwah-excel.blogspot.com/2013/01/tarbiyah-remaja-pembinaan-rijal-dakwah.html, Generasi Al-Kahfi ini mungkin akan dilihat sebagai golongan yang sedikit yang tidak punyai apa-apa, tapi kesannya pada tarbiyah, seluruh masyarakat beriman kepada Allah. Begitu jualah  kisah Ashabul Ukhdud.

Mengambil maksud 'Kapsul' iaitu 'Kotak Kecil', maka, ianya ruangan kecil untuk mentarbiyah remaja-remaja menjadi Generasi Al-Kahfi. Kapsul inilah yang dipanggil Usrah atau Halaqah, ruangan untuk mentarbiyah jiwa-jiwa manusia untuk menjadi lebih baik, dan bagi remaja, ianya tidak terkecuali untuk memperolehi manfaatnya. Moga-moga Kapsul Al-Kahfi ini diberkati oleh Allah dan mengikut tarbiyah acuan dari Allah.

Tuesday, 30 April 2013

Indahnya Warna-Warni Pelangi




Jadilah seperti pelangi, walaupun berbeza warna tetapi perbezaan itulah yang menunjukkan keindahannya. Walaupun berbeza pendapat tetapi perbezaan itu umpama indahnya pelangi kerana berbeza warnanya.  Biarlah hendaknya perbezaan pandangan dan pendapat itu diraikan, bukan dijadikan sebab untuk perbalahan. Sudah tentu, itulah yang paling penting buat kita yang bernama Mukmin dalam menonjolkan imej Islam agama yang indah dan memelihara kedamaian.

Saturday, 9 March 2013

Kisah Thalut dan Jalut


Dalam mentadabbur Surah Al-Baqarah, ayat 246 - 251, beberapa perkara penting boleh dijadikan pengajaran berdasarkan kisah Thalut dan Jalut.

A) IBRAH DARI SIRAH
Sirah yang diceritakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah semestinya ada ibrah di sebalik peristiwa tersebut. Seperti sirah yang menggambarkan tentang dakwah Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan lain-lain, semestinya mengandungi ibrah untuk kita. Bukanlah saja-saja Allah mengungkapkan sirah di dalam Al-Quran melainkan untuk dijadikan pengajaran untuk kita yang membacanya. Ibrah kisah Thalut dan Jalut ini, secara keseluruhnnya, boleh digambarkan dalam ayat yang sebelumnya.

Firman Allah: "Barang siapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan." (Al-Baqarah, 2: 245)


B) CIRI - CIRI PEMIMPIN
Allah menggariskan ciri-ciri pemimpin adalah mempunyai ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa iaitu bertetapan dengan dua ciri muwasofat tarbiyah iaitu Qawiyyul Jism dan Muthaqaful Fikr. 

Firman Allah: 
"....Mereka menjawab, 'Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, dan dia tidak diberi kekayaan yang banyak.'..." (Al-Baqarah, 2: 247). 

Berdasarkan ayat ini, pemuka Bani Israil mempertikaikan pilihan Allah terhadap Thalut kerana merasakan mereka lebih berhak dari Thalut dan juga kerana mereka lebih kaya dan merupakan tokoh masyarakat, yang tiada cirinya pada Thalut. 

Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi di dalam Tafsir Sya'rawi (Jilid 1) mengungkapkan bahawa ungkapan "padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya...", dapat difahami bahawa Thalut bukanlah tokoh masyarakat. Biasanya pemimpin dipilih dari tokoh masyarakat terkenal, makanya mereka menduga bahawa salah seorang di antara mereka akan terpilih. Tapi, Thalut yang berasal dari golongan biasa, bukan keturunan raja dan bukan pula tokoh masyarakat terpilih sebagai pemimpin.

Justeru itu, pemilihan Thalut sebagai pemimpin adalah dari Allah, bukannya hasil lantikan manusia. Maka sangat tepatlah pilihan Allah mengikut kemaslahatan mereka pada ketika itu apabila Thalut dilantik sekaligus ditokohkan sebagai  tokoh dakwah dan tokoh masyarakat.


C) PERLAKSANAAN DAKWAH
Dalam kisah ini, perlaksanaan dakwah memerlukan 4 unsur iaitu:- 

Pertama - Modul
Modul dakwahnya ialah Thalut mengamalkan ajaran Taurat sebelum Zabur dikurniakan kepada Nabi Daud. 

Firman Allah: 
"...'Sesungguhnya tanda kerajaannya ialah datangnya Tabut kepadamu....'" (Al-Baqarah, 2: 248). Tabut ialah peti tempat menyimpan Taurat. 

Maka, kondisi untuk berdakwah kini adalah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang tiada keraguan padanya. Maka, apa jua hujah atau ikutan yang kita laksanakan harus berpandukan ini.

Kedua - Murobbi
Murobbi dalam kisah ini ialah Thalut. Thalut yang dilantik sebagai pemimpin merupakan murobbi kepada kepada semua pengikutnya.

Ketiga - Mutarobbi
Mutarobbi dalam kisah ini ialah pengikut Thalut yang perlu mematuhi apa saja arahan murobbi mereka iaitu Thalut. Maka, dalam kondisi dakwah dan tarbiyah kita sekarang juga memerlukan seorang murobbi untuk melaksanakan gerak kerja dakwah dan mutarobbi sebagai pengikut dalam dakwah ini.

Keempat - Kaedah
Kaedah dakwah yang dilaksanakan ialah Thalut menguji tenteranya ketika kehausan di kawasan sungai. 

Firman Allah: 
"Maka ketika Thalut membawa bala tenteranya, dia berkata, 'Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Maka, barang siapa meminum (airnya), dia bukanlah pengikutku. Dan barang siapa tidak meminumnya, maka dia adalah pengikutku kecuali menceduk seceduk dengan tangan.' ...." (Al-Baqarah, 2: 249).

Kaedah inilah yang digunakan oleh Thalut untuk menguji kesetiaan, ketaatan dan kekuatan pengikutnya dalam menghadapi ujian. Seorang murobbi berhak melaksanakan pelbagai kaedah dakwah terhadap mutarobbinya dengan bertujuan untuk memperkuatkan dakwah itu.


D) TAPISAN DAKWAH
Di dalam dakwah ini, gugur atau hanyutnya seorang dai'e di dalam dakwah ini adalah perkara biasa. Boleh disimpulkan, itulah tapisan dalam dakwah yang akan menapis golongan yang tidak sanggup bersama dalam dakwah ini. Di dalam kisah ini juga menggambarkan beberapa tapisan dakwah terhadap kaum Bani Israil iaitu mereka berpaling dari kewajipan berperang (Dalil - 2: 246), mereka mempertikaikan perlantikan Thalut sebagai raja (Dalil - 2: 247), mereka melanggar arahan dengan meminum air sungai dengan banyak (Dalil - 2: 249) dan mereka berpaling apabila berhadapan dengan tentera Jalut (Dalil - 2: 249). Tapisan-tapisan ini meninggalkan golongan yang sedikit tapi sangat-sangat kuat dan berkualiti apabila berhadapan dengan musuh. Sebagai dai'e, kita harus yakin bahawa, tapisan ini tidaklah meruntuhkan dakwah tapi sebenarnya memperkuatkan dakwah.


E) SIKAP DALAM DAKWAH
Beberapa sikap yang positif boleh dijadikan ibrah untuk kita dalam berdakwah ini.

Pertama - Ketaatan:
Firman Allah: "... Tetapi mereka meminumnya kecuali sebahagian kecil di antara mereka..." (Al-Baqarah, 2: 249).

Kaedah yang dilaksanakan oleh Thalut sebenarnya sangat-sangat membantu dalam menilai ketaatan pengikut atau mutarobbinya. Jumlah yang sedikit ini lah yang biasa kita ungkapkan dengan golongan yang berkualiti.

Kedua - Yakin, Semangat dan Sabar:
Firman Allah: "... Mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, 'Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah.' Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 249)

Golongan yang taat dan sedikit inilah yang yakin akan pertolongan Allah yang mereka mampu mengalahkan jumlah lawan yang ramai. Apa jua cabaran dan apa jua halangan yang datang, perlulah bersemangat, sabar dan yakin akan kemenangan seperti yang dibuktikan oleh 313 orang Tentera Badar.

Ketiga - Hubungan Dengan Allah:
Firman Allah: "Dan ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir." (Al-Baqarah, 2: 250)

Dengan kuasa manusia yang sangat terbatas, siapa lagi yang menjadi kekuatan atau tempat mengadunya seorang dai'e selain dari Allah. Allah saja yang mampu memenangkan dan mengalahkan sesuatu kelompok. Jika Allah dekat dengan kita, apa lagi yang perlu ditakutkan.


F) POTENSI DAKWAH
Firman Allah: "Maka, mereka mengalahkannya dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut...." (Al-Baqarah, 2: 251)

Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi mensyarahkan bahawa seorang tentera harus memiliki keberanian dan ketika harus lari ke belakang, tidak lebih dari sekadar siasat perang untuk menyerang musuh dari sisi lain, kalau bukan demikian maka ia tergolong penakut. Jalut adalah pemimpin pasukan tentera kafir yang lari dan Daud mengejarnya lalu membunuhnya. Dalam kisah yang panjang ini, untuk pertama kali nama Daud muncul. Daud merupakan anak bongsu dari 10 bersaudara. Sebelum perang, nabi mereka berkata: "Barang siapa yang melawan Jalut harus menggunakan baju besi yang sesuai dengan ukurannya." Ayah Daud mencuba memakaikan baju itu kepada anak-anaknya dan tidak ada yang sesuai kecuali Daud. Merupakan takdir Allah di mana, orang yang paling muda dari orang mukmin membunuh pembesar musyrikin. Pertempuran ini merupakan lembaran baru bagi sejarah kehidupan Daud. Allah memberinya kerajaan dan hikmah, membuatnya ahli dalam merancang dan mahir membuat baju besi. Allah menjadikan besi lunak di hadapannya hingga beliau mampu merekabentuk besi sesuka hatinya (Dalil - 21: 80 dan 34: 10-11).

Seseorang itu ada potensinya dalam dakwah. Cuma, bagaimana harus digilap supaya ianya sangat-sangat bermanfaat dalam dakwah. Daud, dalam usia muda iaitu dalam lingkungan remaja, menyerlahkan potensinya dalam peperangan dengan Jalut, hinggakan tiba-tiba dirinya diangkat sebagai wira dalam peristiwa ini. Ungkapan seperti "From Zero To Hero" sangat-sangat tepat di mana dakwah ini sebenarnya mampu menggilap potensi seseorang ikhwah dan akhwat menjadi hero, meskipun dalam usia remaja. Usah kita memandang enteng potensi seseorang itu meskipun usianya sangat muda dan sangat remaja kerana itulah potensi tarbiyah yang sangat-sangat bernilai untuk dakwah pada masa kini dan masa hadapan. 


Moga-moga kisah Thalut dan Jalut ini dapat memberikan kita ibrah dan perlu dimanfaatkan dalam kita menelusuri dakwah ini. Kisahnya pendek tapi sangat padat dengan pengajaran di dalam dakwah. Wallahua'lam.


Hasil Nukilan, 
Mohd Saiful Iman, Mohd Izuan, Azhar, Muhammad Ridhwan, Marwan, Muhammad Afif dan Abu Hanifah. 

Sunday, 3 March 2013

DAI'E aMoEba!!?? EUWW..





Ya, da’ie amoeba… begitulah seorang da’ie disifatkan seperti amoeba yang kelihatan lembut serta bentuknya yang menjijikkan. Maka ingin sekali saya suka kongsikan serba sedikit tentang protozoa yang “menjijikkan” ini kepada semua…… maka bermulalah kisah….(shuuuu~~)

KETURUNAN AMOEBA
(ok ingat salasilah benda ni…masuk kuiz ye, kuiz kehidupan>.<)
Asal usul amoeba ini diambil sempena nama Amibe(Greek God Proteus), nama tuhan yang mampu berubah bentuk mengikut keadaan. Disebabkan itu amoeba digelar “SHAPE SHIFTER”(pengubah bentuk) Interesting  bukan^^?? Secara terperinci lagi bendalah ini merupakan ciptaan tuhan yang nampak biasa-biasa sahaja, tetapi struktur badannya yang mempunyai pelbagai fungsi yang unik. Nak tahu lebih lanjut?? KLIK SINUN>>>MuCus

{ANTARA DA’IE, DAKWAH, TARBIYYAH DAN AMOEBA??}
(APA YANG AKU DAPAT??...-__-‘) Baiklah rakan seperjuangan saya sekalian. Kalian harus sedar itulah(amoeba) mencerminkan realiti masyarakat Islam seperti kita yang bergelar DA’IE( CAPS LOCK HABISS) di mana agama Islam itu menjadi suatu agama yang asing dalam kehidupan saya,aku,kau,dia,mereka dan kita. Maka benarlah sebagaimana hadis Rasulullah(Allahumma solli ‘Ala Muhammad) dalam sabda baginda:
”Islam itu datang sebagai berdagang dan kembali dalam keadaan berdagang.”

Akan tetapi, seorang pendakwah perlu mengambil pengajaran daripada ciptaan Ilahi ini(amoeba). Walaupun lembut macam “jelly”, kita lihat bagaimana makhluk ini menghampiri sasarannya dengan “step by step”. Di sini kita dapat lihat apakah method yang sesuai kita lakukan sepertimana amoeba ini boleh buat:


1)Amoeba:
Mula-mula sekali, langkah meng “approach” pun bermula. Secara perlahan ia menghampiri selari dengan pergerakannya yang tidak terburu-buru untuk “NGAP” makanannye.

Da’ie:
Adalah perlu untuk kita menyesuaikan diri dengan persekitaran serta  kita bergantung pada langkah kita menghampiri mereka. Bermula dengan siapa kita berkawan, bagaimana keadaan di tempat kita berada tetapi jangan sesekali kita terpengaruh dengan kawan yang kurang “sweet” akhlaknya. Kawan boleh, ikut?? NONONO.

2) Amoeba:
Bermulanya “enclosed”(mendekati). sasarannye dilitupi apabila betul-betul berhampiran. Bukan secara drastic macam makanan segere tetapi betertib(cewwaahh). Cuba tengok betul-betul gambar ataupun video bagaimana “benda” ini lakukan^^.

Da’ie:
Maka permulaan yang baik untuk “engulf” kawan atau rakan atau sahabat kita ini adalah dengan mengenali mereka, memahami mereka atau “LISTEN TO THEM”. Ya, mendengar segala kisah mereka kerana secara fitrahnya manusia ini ingin sekalai untuk didengari. So, LISTEN!! Hehehe.

3) Amoeba( huh penat type benda yang sama-_-‘…kuatkan HATI!!)
“Digest”(mencerna), itulah langkah seterusnya yang dilakukan. Biar tiada satu habuk pun yang tertinggal. Mencerna “makanannya” dengan enzyme yang wujud dalam badannya agar tidak terlepas segala nutrisi yang ada.

Da’ie:
Ha apa lagi, “digest” la sasaran anda!! Tetapi!! Gunakan enzyme yang ade dalam tubuh badan anda yang anda telah peroleh(tarbiyyah,ilmu,amal) barulah dapat basuh sesental yang boleh^^. Biarlah berhikmah kerana itu amat perlu.

4) Amoeba:
Yeay!! Last sekali, “secrete”(euww). Jangan geli sangat sebab apa yang dilepaskan hasil pencernaan tadi amat berguna kepada makhluk yang lain. Begitulah amoeba, sangat asing tetapi unik>.<.

Dai’e :
Sebagai seorang pendakwah pula, kita akan merasai hasil tuaian setelah memenuhi langkah-langkah di atas.Insyallah apa yang kita impikan dan kita laksanakan akan dirasai bersama-sama masyarakat seperti setitik nila yang mampu merosakkan susu sebelanga. Jangan jadi nila yang merosakkan susu tersebut tetapi jadilah gula yang mampu memaniskan susu itu.

Sebagai pesanan untuk kita renungi, Allah telah befirman:
Pantaskah aku mencari hakim selain Allah, padahal Dialah yang menurunkan kitab(Al-Qur’an) kepadamu secara terperinci? Orang-orang yang telah Kami berikan kitab mengetahui bahawa (Al-Qur’an) itu diturunkan oleh Tuhanmu dengan benar. Maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu”(Al-An'am,6:114).

Kesimpulannya seorang da’ie jangan berasa ragu-ragu dengan apa yang disampaikan. Dan sebaik-baik penyelesaian adalah dengan merujuk kepada Al-Qur’an itu sendiri serta penyampaiannya pula perlu berhikmah(kebijaksanaan) kerana hikmah itu lebih tinggi daripada ketinggian ilmu(kalau ilmu tinggi tapi tidak digunakan secara berhikmah maka sia-sia ilmu yang dipelajari). Bahkan salah seorang daripada Khulafa’ Ar-Rasyideen saidina Umar Al-khattab sendiri sentiasa merujuk semula kepada kitab yang diturunkan dan tiada cacat cela padanya. Bukan baginda sahaja malah sahabat-sahabat yang lain juga menjadikan ayat Allah ini bukan sekadar rujukan tetapi sebagai pembidas hujah-hujah yang dileparkan oleh kaum musyrikin.

Dai’e=Amoeba….setuju^^?? Sama-sama tengok diri sendiri, lembut tak... ~FASTABIQUL KHAIRAT~
Wallahua’lam
KUIZ: DARE TO CHANGE??


Hasil Nukilan,
Mohd Saiful Iman bin Nor Mohd Zulkarnain

Wednesday, 20 February 2013

Ballon d'Or - Menjadi Dai'e Berstatus Bintang



Dalam sesuatu pertandingan bola sepak, semestinya pemain bagi setiap pasukan akan bermain sebaik mungkin untuk membantu pasukannya mencapai kemenangan termasuklah pemain simpanan. Apabila wujudnya segelintir pemain yang sebegini, menjadikan mereka ini pemain tumpuan dalam setiap perlawanan hinggakan menjadikan diri mereka bintang dalam pasukan mereka. Menjadi pemain bola sepak berstatus bintang adalah harapan dan idaman bagi setiap pemain sama ada pemain utama ataupun pemain simpanan. Itu sebabnya, kebanyakan pemain-pemain yang hebat tidak suka apabila terlalu lama memanaskan bangku simpanan. Lihat saja apa yang terjadi pada kelab-kelab yang dipenuhi bintang-bintang. Akibat terlalu banyak membeli pemain-pemain baru yang berstatus bintang, maka, pemain-pemain asal mereka yang juga berstatus bintang mengugut untuk mencari pasukan baru apabila terlalu lama berada di bangku simpanan. Dalam mindset mereka, apalah maknanya jika dibayar dengan gaji yang lumayan tetapi hanya berada di bangku simpanan. Jelas, mereka tidak dapat menyumbangkan kehandalan dan kehebatan mereka untuk pasukan mereka apabila hanya menjadi pemain simpanan.

Begitu juga kepada sesiapa yang pernah terjebak dalam permainan Football Manager. Dalam permainan ini, bagaimana tugas seorang pengurus untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak. Jika terlebih membeli pemain handalan, akan berlakunya ketidakpuasan hati di kalangan pemain dan permintaan untuk meninggalkan pasukan yang lebih memberi peluang untuk bermain. Itulah realiti yang berlaku dalam senario bola sepak. Tidak akan wujud pemain yang lebih suka memanaskan bangku simapan dan berpeluk tubuh sahaja berbanding mengerah keringat bertarung di pentas perlawanan.

Maka, bagaimana pula untuk menjadi dai'e yang berstatus bintang? Adakah cukup hanya dengan menghadiri halaqah, daurah dan program untuk dirinya sahaja? Atau adakah cukup dengan berpeluk tubuh dan hanya menunggu perintah dakwah tanpa mempunyai inisiatif sendiri? Sepatutnya, realiti ini tidak harus wujud di kalangan para dai'e di mana tidak hanya menunggu arahan ataupun hanya melihat rakan-rakan sehalaqah bekerja habis-habisan untuk berdakwah. Jika pemain bola sepak ditawarkan dengan pendapatan yang lumayan sehingga ada pendapatan yang mencecah 1 juta US Dollar seminggu, bahkan para dai'e ditawarkan dengan nikmat yang tiada tolok bandingnya jika mereka bersungguh-sungguh melakukan kerja dakwah ini seperti yang dilakukan oleh para Nabi dan para Sahabat.

Firman Allah: "Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga). Mereka itulah orang yang dekat (kepada Allah). Berada dalam syurga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. Mereka berada di atas dipan-dipan yang bertakhtakan emas dan permata. Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda. Dengan membawa gelas, cerek dan dan sloki (piala) berisi minuman yang diambil dari air yang mengalir. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk. Dan buah-buahan apa pun yang mereka pilih. Dan daging burung apa pun yang mereka inginkan. Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah. Laksana mutiara yang tersimpan baik. Sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan. Di sana, mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa. Tetapi, mereka mendengar ucapan salam." (Al-Waqi'ah, 56: 10 - 26)

Firman Allah: "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan'." (At-Taubah, 9: 105)

Sebagai golongan yang beriman kepada kitabullah, lihat sahajalah tawaran yang Allah beri dan jamin kepada golongan yang berdakwah. Jika seorang pemain bola sepak sangat boring dan menyampah hanya dengan memanaskan bangku simpanan, mengapa tidak kita sebagai dai'e menjadi begitu? Merasa boring dan menyampah apabila tidak melakukan kerja dakwah dan giat mencari medan-medan dan kader-kader baru untuk kita bina generasi baru yang dahagakan dakwah Islam ini. Ayuh para dai'e sekalian, tinggalkanlah bangku simpanan yang telah begitu lama kita panaskan dan marilah bersama-sama menjadi dai'e yang berstatus bintang yang menyinari alam ini dengan kerja-kerja dakwah para Nabi.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal