Monday 26 March 2012

Program Nuqoba' di SMA Nilai

Pada 24 dan 25 Mac 2012, Pihak Futuwwah Excel Training Centre dengan kerjasama Sek. Men. Agama Nilai (SMAN) telah menjayakan Program Nuqaba' untuk melatih bakal naqib dan naqibah dalam menerajui usrah dan tarbiyah di sekolah tersebut. Seramai 35 orang nuqoba' yang terdiri daripada 18 orang naqib dan 17 orang naqibah menghadiri program tersebut yang dikelolakan seramai 10 orang fasilitator.

Program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" yang disampaikan oleh Akh Nur Bakri bin Abd Hamid. Ceramah ini memberi gambaran secara asas apa yang diperlukan oleh seorang Muslim dan apa yang perlu dilaksanakan dalam konteks dakwah. Sejurus ceramah, para nuqoba' dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu dua kumpulan naqib dan dua kumpulan naqibah untuk aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). LDK 1 berjalan dengan melaksanakan proses taaruf di kalangan ahli kumpulan dan fasilitator dan tilawah al-Quran. LDK 2 yang bertajuk "Fasadul Ummat" atau "Kerosakan Ummat" merupakan perbincangan lebih lanjut mengenai kerosakan ummat pada masa kini dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap Muslim. Selepas solat Isyak, diteruskan program dengan LDK 3 yang bertajuk "Sistem Usrah". Tujuan LDK ini adalah memberi gambaran atau guideline kepada bakal nuqoba', bagaimana untuk menguruskan usrah. Justeru itu, rukun Usrah dan ciri-ciri Usrah berjaya turut ditekankan agar peserta memahami dan berani untuk megendalikan usrah.

Pada keesokan harinya, program diteruskan dengan Ceramah 2 yang disampaikan oleh Akh Muhammad Hafiz bin Kassim. Ceramah yang bertajuk "Kelebihan dan Kepentingan Berdakwah" membawa para peserta kepada kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah, para Sahabat dan pendakwah sebelum ini. Berdakwah sebenarnya bukanlah dilaksanakan dengan paksaan sebaliknya seorang pendakwah itu harus tahu mengapa dia perlu berdakwah. Berdakwah merupakan suatu kerja yang wajib dilakukan dan juga merupakan sunnah Rasulullah yang paling besar. LDK 4 yang bertajuk "Risalah Pemuda" memberi kefahaman kepada peserta yang kesemuanya adalah pemuda tentang peranan yang harus mereka pikul dalam menyebarkan dakwah Islam. Diberikan contoh para sahabat yang melaksanakan dakwah pada usia muda seperti Ali bin Abi Talib dan Mush'ab bin Umair. Dibangkitkan juga kisah-kisah seperti Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fateh yang menggegarkan dunia pada usia muda.

Program berakhir dengan Majlis Penutupan Program Nuqaba'. Wakil Futuwwah Excel Training Centre yang juga merupakan Pengarah Program, Engr. Abu Hanifah bin Mohd Kamal diberi peluang untuk menyampaikan sedikit ucapan mewakili Futuwwah Excel. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sesebuah institusi ataupun organisasi haruslah istiqamah membawa dan menyampaikan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para Sahabat dan tokoh-tokoh Islam terdahulu. Sekiranya Islam itu didaulatkan, nescaya organisasi tersebut akan kekal kukuh dan utuh. Jika tidak, sebaliknya yang akan terjadi. Beliau juga yakin bahawa SMA Nilai mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah elit yang lain memandangkan keputusan SPM 2011, SMA Nilai mencatatkan kedudukan Pertama bagi kategori Sekolah Bantuan Kerajaan di N.Sembilan. Majlis Penutupan disempurnakan oleh GPK Kokurikulum, Puan Norizan bt Mohd Kalam. Beliau berbangga dengan berjayanya Program Nuqaba' dijalankan dengan lancar hasil kerjasama dengan Futuwwah Excel Training Centre. Beliau juga berharap, kerjasama ini akan terus terjalin antara kedua-dua belah pihak. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pihak Futuwwah Excel Training Centre oleh pihak SMA Nilai.

Untuk gambar-gambar sepanjang program, boleh layari http://futuwwah-excel.blogspot.com/p/galeri.html.

No comments:

Post a Comment