"Malaysia tidak harus terus berharap
kepada Lee Chong Wei untuk mendapat kejayaan dalam sukan badminton. Kita perlu
mencari pemain-pemain muda sebagai pemain pelapis negara. Jika tiada, kita
harus kembali ke peringkat akar umbi untuk membina pemain-pemain remaja seperti
yang dilaksanakan oleh kuasa-kuasa badminton seperti China dan Indonesia. Kita
memang tidak akan mendapat kejayaan dengan segera, tapi, pada masa akan
datang, kita akan beroleh kejayaan dalam tempoh yang lama dan berterusan
dengan munculnya jaguh-jaguh badminton muda yang ramai." ulas Misbun Sidek mengenai keadaan sukan
badminton negara sekarang.
Agak unik pemikiran Misbun Sidek mengenai
masa depan sukan badminton. Sebagai bekas jagoan dan jurulatih Kelab Nusa
Mahsuri, beliau sendiri mempunyai perancangan masa depan yang sangat teliti
untuk kejayaan sukan tersebut pada masa akan datang. Rumusannya, saya melihat,
kita tidak harus terus mengharapkan kekuatan yang sedia ada, tapi kita harus
terus memikirkan jangka masa panjang apa yang harus kita buat.
Begitu juga dalam dakwah. Kita jangan
terlalu berpuas hati dan hanya mengharapkan beberapa individu untuk
membawa risalah dakwah ini. Dakwah ni terlalu banyak medan dan kita akan terus
berasa letih jika tidak cukup orang dan kekuatan menyantuni mad'u kita. Jadi,
mengapa tidak kita berfikir seperti apa yang Misbun Sidek berfikir? Selain
ketentuan Allah, seharusnya strategi dalam dakwah juga sangat-sangat penting.
Kita perlu kembali ke akar umbi untuk
membina para rijal iaitu remaja. Kita perlu perkenalkan dan mematangkan mereka
dengan dakwah dan membina mereka sebaik-baiknya menjadi generasi Rabbani yang
bersedia untuk bergelumang dengan dakwah bersama-sama kita. Pembinaan
rijal-rijal ini pastinya akan mengambil masa yang lama tapi bukankah itu
sunnatullah? Pembinaan rijal ini akan memberi impak yang sangat besar apabila
mereka memasuki alam belia suatu hari nanti.
Firman Allah: " .... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu
mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)
Firman Allah: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan
sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan
mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka
ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan
bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat
demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari
kebenaran.'" (Al-Kahfi, 18: 13 - 14)
Jika ada yang bertanya, adakah ia akan
berhasil? Ya, saya amat-amat optimis seperti optimisnya Misbun Sidek. Mengapa
kita selalu mengharapkan kejayaan yang cepat tapi sementara? Bukankah lebih
baik kita bersabar demi mencapai kejayaan untuk tempoh yang lama dan
berterusan?
Kuat atau lemah sesebuah masyarakat itu
bergantung pada pemudanya. Jika hebat pemudanya, maka kuatlah masyarakat itu.
Jika rosak pemudanya, maka lemahlah masyarakat itu. Kita harus membina para
remaja dan pemuda di luar sana untuk membina kembali bangunan Islam yang hampir
roboh. Usah biarkan potensi mereka dibiarkan tanpa dimanfaatkan langsung untuk
dakwah ini. Kini, remaja, bukan lagi golongan yang disibukkan dengan aktiviti
persekolahan, peperiksaan, kelas tambahan dan games sahaja, bahkan sudah tiba masanya
disibukkan dengan usrah dan amal-amal dakwah. Kita harus membina mereka
menjadi rijal-rijal dakwah idaman seperti terbinanya tokoh-tokoh remaja zaman
Rasulullah dan para Sahabat.
"Andai diumpama Islam seperti sebuah
bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi
mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan
mereka. Tetapi aku ingin hati-hati yang IKHLAS untuk membantu dan bersamaku
membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam
indah." -
As-Syahid Hasan al-Banna.
Wallahua'lam
Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal
No comments:
Post a Comment