Wednesday, 25 April 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu PTPTN


Polemik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nampaknya kembali menggamit perhatian masyarakat di Malaysia. PTPTN yang diperkenalkan, merupakan badan yang memberikan skim pinjaman kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Justeru itu, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilaksanakan berkaitan badan tersebut.

Berhubung dengan isu ini, Futuwwah Excel Training Centre berpegang kepada dua (2) pendirian. Pertama – Skim pinjaman yang dilaksanakan oleh PTPTN perlulah bebas dari unsur yang diharamkan syarak. Sememangnya, pembangunan sistem dalam sistem pinjaman dan kewangan haruslah bebas dari riba bagi memastikan kehidupan yang diberkati oleh Allah. Ini bertepatan amaran Allah:

“Wahai orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba jika kamu orang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya, Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas pokok hartamu. Kamu tidak berbuat zalim dan tidak (pula) dizalimi.” (Al-Baqarah, 2: 278 – 279)

Ini bermakna, sebarang caj yang dikenakan terhadap peminjam mestilah berasaskan kos perkhidmatan atau pengurusan sebenar (termasuk kos peguam, cukai setem, dokumentasi, pengangkutan dan lain-lain) dan bukan sekadar meletakkan peratusan tertentu seperti satu peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang diberikan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar. Justeru itu, perlu dijelaskan sebenar-benarnya caj perkhidmatan yang dikenakan terhadap para peminjam supaya ianya benar-benar mewakili kos perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.

Kedua – Futuwwah Excel Training Centre menyeru agar pihak kerajaan dapat memperuntukkan bajet yang tinggi dalam menampung kos pengurusan PTPTN dan memperbanyakkan skim biasiswa dan skim pinjaman melalui institusi kewangan seperti MARA, JPA, Bank Islam dan agensi kerajaan yang lain terutama kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan juga pelajar dari kawasan luar bandar. Ini adalah langkah memperbanyakkan alternatif dalam membantu ribuan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi dan juga sebagai langkah permulaan dalam usaha untuk memperkasakan pendidikan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, kami berpegang teguh dengan pendirian yang dinyatakan dalam memastikan pendidikan dapat diperkasakan dan memberikan hak kepada semua warganegara tanpa mengira faktor agama, bangsa dan geografi.

No comments:

Post a Comment