Friday, 10 August 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu Rohingya

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Sejak puluhan tahun lagi mereka telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar. Bahkan, kekejaman massa yang dilakukan terhadap minoriti Rohingya di wilayah Rakhine mungkin merupakan antara jenayah kemanusiaan yang terdahsyat di abad ini.

Siapakah mereka? Umat Islam Rohingya berasal dari keturunan para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat sepaerti Mughals, Pathan dan Bengali. Penyebaran Islam di Rakhine (dahulu dikenali sebagai Arakan, barat Myanmar) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Rakhine, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha.

Antara kekejaman dan pencabulan hak asasi terhadap etnik Rohingya oleh junta tentera Myanmar:
  1. Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka
  2. Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayah Arakan
  3. Sekatan makanan sehingga hidup kebuluran
  4. Sekatan ekonomi, kemudahan Kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
  5. Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja di tapak pembinaan bangunan tentera
  6. Pengusiran etnik Rohingya ke Bangladesh sejak puluhan tahun lalu.

Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun melarikan diri ke Malaysia bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan daripada saudara seakidah mereka. Di Malaysia sahaja terdapat lebih 30,000 pelarian Rohingya. Futuwwah Excel Training Centre menggesa rakyat Malaysia supaya mengambil peluang menunjukkan keprihatinan dengan meringankan beban mereka sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW;

Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”


Beberapa saranan Futuwwah Excel Training Centre:

  1. Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil inisiatif untuk menjuarai isu umat Islam Rohingya samada di peringkat antarabangsa dengan menyuarakan permasalahan kronik ini di persidangan OIC, PBB, WHO, ASEAN dan sebagainya.
  2. Badan-badan kerajaan di peringkat nasional dan negeri seharusnya mengambil tanggung-jawab kerana semakin ramai di kalangan umat Islam Rohingya yang telah mendarat bagi mendapatkan perlindungan di Malaysia. Mereka adalah pendatang yang jauh lebih baik untuk dibantu dan disantuni jika dibandingkan dengan pelancong dari sesetengah negara yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan pelacuran.
  3. NGO dan badan kebajikan yang ada di Malaysia harus mengambil bahagian bagi meringankan bebanan yang dihadapi mereka yang sangat memerlukan bantuan di sudut sosial, ekonomi, kesihatan dan pendidikan. Tanpa status kewarganegaraan dan kesukaran mendapatkan status pelarian, mereka tiada akses ke sekolah-sekolah di Malaysia yang diselia kerajaan.
  4. Kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta menyebarkan maklumat tentang keperitan umat Rohingya yang berpanjangan.
Jika rakyat Malaysia begitu prihatin dan pelbagai NGO telah ditubuhkan bagi menangani masalah umat antarabangsa seperti Palestin, sejauh manakah pula kita peka terhadap isu Rohingya?

No comments:

Post a Comment