Sedar tak sedar separuh dari Ramadhan
telah berlalu meninggalkan kita, dan semakin hampir kita dengan hari bonus pada
malam yang istimewa, Laila al-Qadr.
Lumrah manusia adalah berkehendak akan
sesuatu, dan kebiasaannya tidak dapat memilikinya disebabkan kemampuan yang
terhad lalu memerlukan bantuan dan pertolongan. Amat menyedihkan sekiranya
manusia adalah yang pertama kita harapkan untuk mendapatkan bantuan dan
pertolongan itu. Sedangkan telah Allah nyatakan kesediaan dan sifat pemurahNya
untuk membantu, sekiranya hamba-Nya BERDOA .
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu (Muhammad SAW) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat, Aku kabulkan
permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi
perintahKu dan beriman kepada Ku agar mereka mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah, 2: 186)
Di dalam sebuah hadith juga menyatakan
betapa pentingnya doa itu sehingga ia diibaratkan sebagai senjata mukmin.
Bagaimanakah dapat seseorang menempuhi medan peperangan tanpa adanya senjata
untuk mempertahankan dirinya?
Kebanyakan persepsi menganggap doa itu
harus menadah tangan bersama dengan bacaan yang khusus dalam bahasa Arab dan
dibaca selepas solat ataupun upacara tertentu. Namun jarang sekali disedari
bahawa perkataan yang dituturkan seharian dalam bahasa apapun, malah lintasan hati
juga boleh menjadi sebuah doa. Oleh kerana itulah kita digalakkan untuk
mengucapkan salam dan membalasnya semula kerana itulah doa yang paling mudah.
Disebabkan itu juga diharuskan orang
muslim untuk menutur perkataan yang baik dan juga berbaik sangka terhadap orang
di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi tidak ada ruginya untuk mendoakan sesuatu
yang baik kepada orang lain, sepertimana yang telah diriwayatkan dalam sebuah
hadith:
Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w
telah bersabda: "Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa
diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada didekatnya seorang
malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan
sesuatu kebaikan (malaikat itu akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan
yang sama." (Hadith Riwayat Muslim)
Agak malang sekiranya kita meninggalkan
doa kerana merasakan tiada hasil daripada doa yang telah dititipkan. Ini kerana
Allah lebih mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk kita dikurniakan dengan
apa yang dipinta, atau sama ada diberi sesuatu yang lebih baik apa yang
dipinta. Hendaklah kita sabar dan terus berusaha untuk tanpa putus asa memohon,
seperti yang telah Allah firmankan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah
pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta
dengan orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2: 153)
Namun tidak dinafikan adanya golongan yang
istimewa yang ditetap Allah agar tiada hijab bagi doa dan pasti akan menerima
apa yang diminta, maka bergembiralah sekiranya kita tergolong dalam salah satu
kumpulan itu.
Hasil Nukilan,
Mohd Hafizzudin Ismail
No comments:
Post a Comment