Thursday 13 December 2012

Hasil Yang Ranum

Firman Allah: "Dan bersabarlah (Muhammad) menunggu ketetapan Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pengawasan Kami, dan bertasbihlah  dengan memuji Tuhanmu ketika engkau bangun." (At-Tur, 52: 48)

Dalam firman Allah di atas, Allah menyarankan agar kita istiqamah bersabar menunggu ketetapan Allah. Hasil yang kita impikan dalam dakwah sememangnya tidak akan tiba serta merta dan pantas, dan dari situlah kita harus belajar untuk terus bersabar dan tidak gopoh dalam menuai hasilnya. Kegopohan dalam dakwah seringkali menyebabkan seorang dai'e hilang fokus mengenai keutamaan dakwah. Mereka yang gopoh pastinya tidak sabar-sabar melihat hasil padahal dakwah dan tarbiyah yang dijalankan masih belum cukup masak dan ranum. Tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah adalah bukti bagaimana hasil yang diperolehi untuk Islam menjadi Ustaziatul Alam memakan masa hingga beratus tahun.

Ikhwah dan Akhwat,
Teruskanlah bekerja dalam dakwah dan tarbiyah ini dan teruskanlah berdoa dan mengharap dari Allah. Usah bimbang jika hasil dakwah masih belum terbit kerana Insya Allah hasil yang ditunggu masih dalam proses untuk masak dan ranum, yang pastinya akan ranum-seranumnya apabila tiba waktunya.

Wallahua'lam.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Sunday 2 December 2012

Menjejaki Generasi Al-Quran (In The Footsteps of Quranic Generation)


Tarbiyah Islamiyah adalah langkah pendidikan, pembinaan dan pembentukan keperibadian yang teratur, terarah, sistematis dan terprogram secara berkesinambungan sepanjang hayat. Program tarbiyah Islamiyah bertumpu pada dua manhaj sehingga menjadi dapat menjadi program yang jelas iaitu manhaj 'ilmi (tu'allimuunal kitaab) dan manhaj 'amali (tadrusuun) sebagaimana firman Allah:

"Jadilah kamu generasi Rabbani - yang sempurna iman dan taqwanya, kerana kamu sentiasa mengajarkan kitab dan kerana kamu sentiasa mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)

Generasi Rabbani adalah generasi yang sentiasa melakukan tarbiyah sepanjang hidupnya. Bukan sekadar mengaji dalam erti membaca al-Quran, tapi lebih dari sekadar itu. Ia juga selalu menyampaikannya kepada orang lain, bahkan ia pun sentiasa mempelajarinya. Sehingga generasi rabbani inilah yang dikatakan oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik manusia.

"Sebaik-baik kalian adalah orang yang sentiasa mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain." (HR Bukhari)

Jadi, generasi rabbani secara automatiknya adalah generasi Al-Quran kerana akrab dengan Al-Quran, menjadi pembelajar dan pengajarnya.

Generasi Al-Quran ini disebut oleh Syed Qutub sebagai generasi unik, Jailul Qurani Al-Farid. Mengapa? Kerana Al-Quran menjadi ruhnya. Al-Quran keperibadiannya. Al-Quran sumber asasi hidupnya. Al-Quran pula yang merevolusi kehidupannya. Al-Quran akhlaknya. Sebagaimana beliau ungkapkan dalam kitab Ma'alim Fith Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan). Maka, bila kekuatan Al-Quran telah menyatu dalam peribadi muslim, maka ia akan menjadi peribadi yang unik dan dahsyat.

Generasi para sahabat menjadi contoh yang terbaik di mana golongan ini diakui sebagai generasi yang hebat dalam sejarah tamadun manusia. Apa rahsianya? Itulah generasi Al-Quran. Generasi yang seterusnya yang membawa kegemilangan Islam seperti Salahudin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh, juga merupakan generasi Al-Quran yang hebat.

Islam hanya bangkit apabila kita mencontohi dan menjejaki Generasi Al-Quran. Bukan hanya tahu dan hafal temanya sahaja tapi perlu dihadam dan diredam agar ianya benar-benar menjadi kenyataan.

Wallahua'lam


Rujukan: Quantum Tarbiyah, Solikhin Abu Izzuddin, Bina Insani Press Solo, 2006.



Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Sunday 28 October 2012

Menghayati Ibadah Korban


Firman Allah: “Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu, dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Kausar, 108: 1-3)

Sambutan Hari Raya Aidil Adha merangkumi banyak ibadah terhadap Allah. Juga dipanggil Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban di mana, pada waktu itu sajalah terdapat pelaksanaan ibadah Haji dan ibadah Korban. Bagi yang berpeluang menunaikan Haji ke Baitullah, inilah peluang keemasan yang dinantikan untuk menyahut seruan Allah. Bagi yang tidak berpeluang, ibadah Korban juga adalah peluang untuk kita menggandakan ibadah kita kepada Allah.

Firman Allah: “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu.’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, Insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.’ Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah).  Lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (As-Saffat, 37: 102 – 108)

Firman Allah: “Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putra Adam, ketika kedua-duanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, ‘Sungguh, aku pasti membunuhmu!’ Dia (Habil) berkata, ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertakwa.” (Al-Ma’idah, 5: 27)

Bagaimana kita menghayati ibadah Korban ini? Dalam kedua-dua firman Allah di atas, kisah yang sering diabadikan mengenai ibadah Korban dan pastinya kisah ini akan kekal hingga akhirat. Keikhlasan dalam menunaikan ibadah termasuklah ibadah Korban menjadi syarat utama bagi memastikan ibadah kita diterima Allah. Nabi Ibrahim mempersembahkan Nabi Ismail (anaknya) untuk dikorbankan atas perintah Allah dan Habil mempersembahkan hasil ternakan yang terbaik bagi Allah.

Apa pula yang ingin dipersembahkan oleh kita di akhirat nanti? Jika komitmen kita pada pasangan, keluarga, pelajaran dan kerjaya menuntut kita melakukan yang yang terbaik, begitu jualah dengan apa yang ingin kita persembahkan kepada Allah. Ibadah Korban ini sebenarnya mendidik manusia menjadi manusia yang berTuhan. Bermula dari keikhlasan niat dalam beribadah sehinggalah hasil yang terbaik untuk diberikan kepada Allah.

Semoga dengan kisah-kisah Nabi Ibrahim dan anaknya beserta kisah putra Nabi Adam menjadi benchmark dalam kita melaksanakan ibadah kepada Allah. Usah menjadi manusia yang ‘cincai’ dalam melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi haruslah kita meletakkan standard yang tertinggi dalam mencapai redha Allah.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Monday 22 October 2012

Aku Cintakan Kelelahan

Terlalu banyak kalimah Rabb yang termaktub di dalam kalam-NYA yang mencerita dan menjanjikan kemenangan yang sebenar bagi orang-orang yang berjuang dan memperjuangkan agama yang mulia ini. Ayat itu ayat ini..surah itu surah ini… Nah sudah cukup rasanya untuk menidakkan kehadiran kita di dalam barisan kemenangan ini  namun realiti hari ini menyaksikan orang kebanyakkan tidak sedar kedahsyatan tawaran ini yang mana jika dihebahkan sehingga faham, saya pasti manusia lebih tertarik untuk bersama dengannya. 

Lebih membarah sekiranya yang sudah kenal apa itu tarbiah dan sudah ‘masak’ dengan daurah dan khatibah, beranggapan sudah cukup baik sebenarnya berada dalam assabiyah kebaikkan, tidak perlu lebih-lebih. “Allah tidak membebani umatnya melebihi kemampuannya…” Kalau inilah hujah yang acapkali diulang-ulang, saya tidak mahu paksa, teruskan dengannya. Cuma anda sebenarnya sudah terlalu hampir namun tidak cukup untuk menikmati kelazatan kepenatan itu.

Namun suka untuk saya coretkan satu pesanan yang  saya kira cukup layak untuk si penuturnya menuturkan kata-kata ini.

 “Barangsiapa yang telah berazam dalam hidupnya, untuk hidup bersama dengan agamanya, maka dia akan hidup dalam kelelahan. Namun bagaimanapun (walau lelah) dia hidup dalam keagungan dan menjemput kematian dalam keagungan”.

Sosok tubuh yang saya mimpikan untuk jadi sepertinya ialah As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Rujuklah banyak bahan samada di internet mahupun buku-buku kisah perjuangan beliau yang telah menikmati kelelahan itu demi menegakkan agamaNYA sehinggakan 3 butir peluru berpandu Israel laknatullah pun mencemburuinya. Dengan kerusi roda dan selendang itulah beliau diarak ke sana ke sini memberi nur agama buat yang mendambakannya. Penghujung hidupnya bertemukan syahid yang kita semua heboh-hebohkan. Wah jelousnya!

Hidup seharian sebagai insan yang inginkan kebaikkan kepada umat memang memenatkan sehingga kadang-kadang si suami mengelah isteri mendengar juga sebaliknya, itu lumrah.Berpagian sehingga ke lewat malam ada sahaja perencanaannya. Bukan itu sahaja, kewangan juga merasai kelelahan itu sehinggakan cukup bulan duit simpanan sekadar cukup minum kopi di kedai mamak sahaja setelah banyaknya duit masuk ke poket dakwah.

Wah kesiannya. Hidup apa seperti ini? “

Namun yakinlah sudah ramai manusia hebat yang telah melalui kepayahan dan kepenatan ini dan mereka berjaya di neraca Allah. Bukankah itu juga yang kita cemburukan?

Ayuh bersemangatlah!

Pilihlah jalan yang terbaik untuk penghidupan anda di akhirat nanti. Inshallah mudah-mudahan kita jumpa di sana.


Hasil Nukilan,
Amir Farid Sabuddin

Monday 17 September 2012

Sabar


"Bersabarlah!" Itulah ungkapan yang sesuai untuk diungkapkan ketika seseorang menghadapi musibah. Bahkan itulah yang diajarkan oleh Islam pada setiap kali menghadapi dugaan dan menerima musibah. Mungkin sesetengah orang berkata, "Cakap memang senang, cuba kalau kau yang kene!" Justeru itu, apa lagi nasihat yang paling sesuai selain bersabar?

Rasulullah sendiri pernah diherdik oleh seorang wanita yang meratap di atas perkuburan apabila baginda menasihati wanita tersebut bersabar. Namun akhirnya, wanita tersebut memohon ampun setelah mengetahui bahawa lelaki tersebut ialah Rasulullah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung." (Ali-Imran, 3: 200)

Dalam firman Allah tersebut, Allah Taala bukan sahaja suruh kita bersabar bahkan memperkuatkan kesabaran. Ternyata ayat ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman dan pejuang-pejuang kebenaran. Bukan mudah untuk kita menyampaikan kebenaran dan isitqamah di jalannya tanpa kesabaran yang utuh.


MENGAPA PERLU BERSABAR?

1) Amalan Paling Baik dan Mulia

Firman Allah: "Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura, 42: 43)


2) Taat & Menjauhi Maksiat

Sikap sabar menjadikan seseorang itu taat kepada dan tidak mudah mendekati maksiat. Terselamatlah golongan yang banyak bersabar ini daripada sifat-sifat mazmumah seperti sikap marah, merajuk dan bergaduh.


3) Diuji Semua Segi

Bagi pejuang-pejuang kebenaran ataupun pendakwah, perlu diingat bahawa keberadaan kita dalam jalan dakwah bukanlah dalam keadaan yang selesa ataupun disambut dengan karpet merah dan sebagainya. Keberadaan kita dalam dakwah semestinya berhadapan dengan ujian yang cukup hebat dari semua segi, di mana yang mampu meneguhkan kedudukan kita adalah dengan memperbanyakkan sikap sabar.

Firman Allah: "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 155)


4) Pahala Tanpa Batas

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu!' Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas." (Az-Zumar, 39: 10)


5) Nyata & Terbukti Berjuang

Orang-orang yang sabar adalah golongan yang terbukti berjuang di jalan-Nya. Maka, Allah akan terus menguji golongan tersebut sehinggalah mereka tetap sabar dan thabat pada jalan Allah. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasul Ulul Azmi seperti Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim.

Firman Allah: "Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar berjihad dan bersabar di antara kamu dan akan Kami uji perihal kamu." (Muhammad, 47: 31)


6) Bantuan Allah

Pernah tidak kita terfikir mengapa doa kita tidak atau lambat dimakbulkan oleh Allah? Barangkali kerana dosa-dosa yang kita lakukan atau tidak sabarnya kita dalam memohon pertolongan Allah. Maka, sifat sabar adalah di antara syarat-syarat untuk kita mendapat bantuan dari Allah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 153)


Wallahua'lam


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Sunday 19 August 2012

Eid Mubarak


Futuwwah Excel Training Centre mengucapkan Selamat Hari Raya Eidil Fitri kepada pengunjung setia web http://futuwwah-excel.blogspot.com dan seluruh muslimin dan muslimat. Semoga Allah menerima segala amalan kita.
Taqabalallahu Minna Wa Minkum...

Saturday 18 August 2012

Lapar Itu Manis


Firman Allah: "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah, 2: 183)

Kebanyakan kita tahu dan sedar akan hikmah-hikmah berpuasa. Di antara hikmah yang paling jelas ialah bagaimana kita dapat merasai kesusahan dan kepenatan ketika berpuasa. Pastinya, kita mengenang saudara-saudara kita di tempat lain yang mengalami kesusahan seperti di Palestin, Syria, Iraq, Libya, Indonesia, Myanmar dan lain-lain lagi. Ketika kita masih berupaya makan makanan yang enak-enak di rumah ataupun memenuhi jemputan berbuka puasa di hotel dan restoran, sedangkan saudara-saudara kita masih bertarung nyawa untuk mendapat sesuap nasi. Oh, dunia...

Dalam firman Allah di atas, sebenarnya, tujuan diwajibkan berpuasa adalah untuk menjadikan diri kita bertakwa. Bersungguh-sungguh dalam berpuasa dan mengenang nasib saudara-saudara kita juga adalah takwa. Dan itulah hikmahnya berpuasa. Sememangnya, kelaparan yang kita alami sebenarnya jika dilihat di sebalik firman Allah ini, begitu manis, semanis yang dialami orang yang bertahajud di waktu malam ketika yang lain sedang nyenyak tidur. Juga, kemanisan yang ditunjukkan oleh seorang ibu yang sanggup berlapar demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan. Alangkah indah dan manisnnya berpuasa bagi orang yang betul-betul menghayati hikmah puasa itu dan alangkah ruginya bagi golongan yang tidak berpuasa kerana pada dirinya hanya memikirkan perut dan lapar diri sendiri sahaja.

Semoga Ramadhan kali ini menggamit diri kita menjadi orang yang bertakwa dan mengambil berat di atas nasib saudara-saudara kita di luar sana. Semoga kemanisan Ramadhan ini dipertemukan oleh Allah lagi pada masa akan datang.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Thursday 16 August 2012

Anak Yatim - Diraikan 1 Bulan, Dipinggirkan 11 Bulan


Saya amat memerhatikan perubahan setiap dari kita ketika menjelang Ramadhan melalui pemerhatian mata saya, melalui media massa dan lain-lain. Inilah yang sering berlaku ketika bulan Ramadhan, bulan di mana umat Islam berebut-rebut kembali kepada fitrahnya. Yang jarang berpuasa sunat, lantas mampu saja berpuasa sebulan. Yang jarang solat jemaah di masjid, kerap kali menghadirkan diri ke masjid. Tidak kurang juga, ada yang rajin bersedekah pada yang kurang berkemampuan.

Ketika Ramadhan ini juga la, Rumah-Rumah Anak Yatim penuh dengan tempahan; bukan tempahan hendak memenuhkan tempat, tetapi tempahan untuk memberikan bantuan, baju raya, duit raya dan majlis berbuka puasa. Adakah ini adat ketika bulan Ramadhan? Memang digalakkan bantuan sebegini, cuma, kenapa hanya ketika bulan Ramadhan? Kenapa hanya di bulan Ramadhan, baru teringat kepada anak yatim dan badan-badan korporat muncul memberikan sumbangan? 

Barangkali kita cukup bernasib baik. Saya sendiri juga rasa cukup bertuah. Kita tidak merasa apa yang anak yatim rasa. Kita tidak rasa kehilangan ibu bapa sejak kecil atau sejak bayi. Kita tidak rasa terpinggir di sebuah rumah yang jauh dari masyarakat lain. Kita tidak rasa linangan air mata mengingati ibu dan ayah yang sudah tiada. Kita tidak rasa kerinduan seorang anak terhadap belaian ibu dan ayahnya. Segala-galanya mungkin mudah buat kita sebab ibu bapa kita ada.

Alhamdulillah syukur, ada juga golongan yang mahu memberi bantuan kepada anak yatim, tetapi bagi saya, haruslah diperluaskan adat itu. Bukan hanya memberi bantuan ketika bulan Ramadhan saja tetapi juga ketika bulan-bulan yang lain. Sama juga, 'ketaksuban' orang Melayu terhadap amalan membaca Yassin; kan bagus kalau diperluaskan lagi supaya tidak hanya membaca surah Yassin saja tetapi juga surah-surah lain dalam Al-Quran.

Firman Allah: "Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih." (Al-Insaan, 76: 8 - 9)

Justeru itu, janganlah Anak Yatim itu menjadi golongan yang diraikan sebulan tetapi terpinggir 11 bulan. Hanya diingati ketika menjelang Hari Raya namun dilupai pada waktu yang lain. Mereka juga manusia seperti kita dan mempunyai hak yang sama juga dengan kita.
Wallahua'lam.

 
Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Friday 10 August 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu Rohingya

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Sejak puluhan tahun lagi mereka telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar. Bahkan, kekejaman massa yang dilakukan terhadap minoriti Rohingya di wilayah Rakhine mungkin merupakan antara jenayah kemanusiaan yang terdahsyat di abad ini.

Siapakah mereka? Umat Islam Rohingya berasal dari keturunan para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat sepaerti Mughals, Pathan dan Bengali. Penyebaran Islam di Rakhine (dahulu dikenali sebagai Arakan, barat Myanmar) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Rakhine, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha.

Antara kekejaman dan pencabulan hak asasi terhadap etnik Rohingya oleh junta tentera Myanmar:
  1. Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka
  2. Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayah Arakan
  3. Sekatan makanan sehingga hidup kebuluran
  4. Sekatan ekonomi, kemudahan Kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
  5. Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja di tapak pembinaan bangunan tentera
  6. Pengusiran etnik Rohingya ke Bangladesh sejak puluhan tahun lalu.

Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun melarikan diri ke Malaysia bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan daripada saudara seakidah mereka. Di Malaysia sahaja terdapat lebih 30,000 pelarian Rohingya. Futuwwah Excel Training Centre menggesa rakyat Malaysia supaya mengambil peluang menunjukkan keprihatinan dengan meringankan beban mereka sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW;

Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”


Beberapa saranan Futuwwah Excel Training Centre:

  1. Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil inisiatif untuk menjuarai isu umat Islam Rohingya samada di peringkat antarabangsa dengan menyuarakan permasalahan kronik ini di persidangan OIC, PBB, WHO, ASEAN dan sebagainya.
  2. Badan-badan kerajaan di peringkat nasional dan negeri seharusnya mengambil tanggung-jawab kerana semakin ramai di kalangan umat Islam Rohingya yang telah mendarat bagi mendapatkan perlindungan di Malaysia. Mereka adalah pendatang yang jauh lebih baik untuk dibantu dan disantuni jika dibandingkan dengan pelancong dari sesetengah negara yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan pelacuran.
  3. NGO dan badan kebajikan yang ada di Malaysia harus mengambil bahagian bagi meringankan bebanan yang dihadapi mereka yang sangat memerlukan bantuan di sudut sosial, ekonomi, kesihatan dan pendidikan. Tanpa status kewarganegaraan dan kesukaran mendapatkan status pelarian, mereka tiada akses ke sekolah-sekolah di Malaysia yang diselia kerajaan.
  4. Kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta menyebarkan maklumat tentang keperitan umat Rohingya yang berpanjangan.
Jika rakyat Malaysia begitu prihatin dan pelbagai NGO telah ditubuhkan bagi menangani masalah umat antarabangsa seperti Palestin, sejauh manakah pula kita peka terhadap isu Rohingya?

Tuesday 7 August 2012

Sabar Dalam Menghadapi Cubaan


Firman Allah: Wahai Orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Al- Baqarah, 2 : 153)

Seseorang yang dalam rangka meraih ridha Allah, memikirkan bukti-bukti yang menuntun kepada iman, memelihara perintah Allah, akhirat, kematian dan merenungkan nikmat yang telah Allah berikan kepadanya dalam kehidupan ini, balasannya akan mendapatkan pertolongan Allah.

Orang yang beriman tidak pernah lupa bahwa Allah telah menciptakan setiap situasi yang dialami manusia atau hamba di sepanjang hari-harinya. Tujuan penciptaannya tersebut agar kita bersabar atay menggunakan fikiran kita untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang paling disukai Allah, keadaan apa pun yang kita rasakan. Termasuk jika ada masalah yang tidak mampu yang harus dilakukan adalah bersabar.

Salah jika ada orang yang menganggap bahwa cubaan hanya muncul dalam bentuk kepedihan yang luar biasa dan tragedi sebagai ujian bagi kesabaran kita. Allah menguji manusia sepanjang hari dengan berbagai cobaan, baik yang besar maupun kecil.

Namun, dalam situasi ini, mereka yang hidup sesuai dengan ajaran Al-Quran tidak merasa jengkel dan tetap besabar tanpa berkeluh-kesah. Dalam Al-Quran, Allah menerangkan bahwa salah satu sifat orang beriman adalah tetap bersabar dengan cobaan yang datang kepada mereka.

Firman Allah: (Iaitu) orang-orang yang apa bila disebut nama Allah hati mereka bergetar, orang yang sabar atas apa yang menimpa mereka, dan orang yang melaksanakan solat, dan orang yang menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.” (QS Al-Hajj, 22:35).


Hasil Nukilan,
Muhammad Nur Akmal

Saturday 4 August 2012

Ramadhan - Habuan Dari Allah


Sedar tak sedar separuh dari Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, dan semakin hampir kita dengan hari bonus pada malam yang istimewa, Laila al-Qadr.

Lumrah manusia adalah berkehendak akan sesuatu, dan kebiasaannya tidak dapat memilikinya disebabkan kemampuan yang terhad lalu memerlukan bantuan dan pertolongan. Amat menyedihkan sekiranya manusia adalah yang pertama kita harapkan untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan itu. Sedangkan telah Allah nyatakan kesediaan dan sifat pemurahNya untuk membantu, sekiranya hamba-Nya BERDOA .

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad SAW) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat, Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu dan beriman kepada Ku agar mereka mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah, 2: 186)

Di dalam sebuah hadith juga menyatakan betapa pentingnya doa itu sehingga ia diibaratkan sebagai senjata mukmin. Bagaimanakah dapat seseorang menempuhi medan peperangan tanpa adanya senjata untuk mempertahankan dirinya?

Kebanyakan persepsi menganggap doa itu harus menadah tangan bersama dengan bacaan yang khusus dalam bahasa Arab dan dibaca selepas solat ataupun upacara tertentu. Namun jarang sekali disedari bahawa perkataan yang dituturkan seharian dalam bahasa apapun, malah lintasan hati juga boleh menjadi sebuah doa. Oleh kerana itulah kita digalakkan untuk mengucapkan salam dan membalasnya semula kerana itulah doa yang paling mudah.

Disebabkan itu juga diharuskan orang muslim untuk menutur perkataan yang baik dan juga berbaik sangka terhadap orang di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi tidak ada ruginya untuk mendoakan sesuatu yang baik kepada orang lain, sepertimana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith:

Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama." (Hadith Riwayat Muslim)

Agak malang sekiranya kita meninggalkan doa kerana merasakan tiada hasil daripada doa yang telah dititipkan. Ini kerana Allah lebih mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk kita dikurniakan dengan apa yang dipinta, atau sama ada diberi sesuatu yang lebih baik apa yang dipinta. Hendaklah kita sabar dan terus berusaha untuk tanpa putus asa memohon, seperti yang telah Allah firmankan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2: 153)

Namun tidak dinafikan adanya golongan yang istimewa yang ditetap Allah agar tiada hijab bagi doa dan pasti akan menerima apa yang diminta, maka bergembiralah sekiranya kita tergolong dalam salah satu kumpulan itu.


Hasil Nukilan,
Mohd Hafizzudin Ismail

Tuesday 17 July 2012

Angkara Syaitan


Di dalam Al-Quran, Allah mengatakan bahwa syaitan sangatlah kufur dan suka melawan. Kita juga belajar dari Al-Quran bahwa syaitan akan mendekati manusia dari setiap arah dan ia akan berusaha dengan segala cara untuk membawa manusia kepada kejahatan moral. Metode yang paling sering dilakukan setan dalam rencana jahatnya adalah menghalangi manusia dari melihat kebaikan dalam segala peristiwa yang menimpanya.

Dengan cara demikian, ia juga berusaha untuk menyesatkan manusia kepada pemberontakan dan kekufuran. Orang yang tidak mampu memahami keindahan akhlak Al-Quran akan jauh dari ajaran Islam dan mereka akan menghabiskan kehidupan mereka untuk mengejar kesia-siaan dan melupakan akhirat akan mudah jatuh dalam perangkap syaitan.

Seseorang harus melatih kesabarannya supaya ia dapat berusaha melihat kebaikan dalam semua peristiwa, untuk menunjukkan ketundukan dan kepercayaannya kepada Allah. Ketidakmampuan untuk melatih kesadaran seseorang hanya akan membawa kepada sikap yang salah.

Firma Allah: “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan kemiskinan kepadamu dan menyuruh kamu berbuat keji (kikir), sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan kurnia-Nya kepadamu. Dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah, 2: 268)

Firman Allah: “Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah (dengan membaca A`uzu billahi minasy-syaitanir-rajim). Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi pikiran jahat (berbuat dosa) dari setan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (Kesalahan-kesalahannya).” (Al-A’raf, 7: 200-201)


Hasil Nukilan,
Muhammad Nur Akmal

Sunday 8 July 2012

Siapa Jenguk Siapa?


Ramadhan bakal menjenguk kita atau kita yang akan bertemu Ramadhan?

Barangkali ada yang membalas, ianya lebih kurang sama, cuma susunatur ayat yang diubah. Baik saya setuju dengan semua pandangan namun biarkan saya  mengutarakan beberapa nilai yang mungkin boleh difikirkan semula dalam konteks ayat penyata di atas.

Ramadhan bakal menjenguk kita berarti seseorang itu hanya perlu menunggu masa sehinggalah dia bertemu dengan bulan Ramadhan, ya sama seperti dia masuk ke bulan Januari, Februari, Mac dan seterusnya. Setiap kali masuk bulan baru kebanyakkan dari kita akan berkata "aduh cepat sekali masa berlalu, dah masuk bulan baru.." Mengeluh... Mengaduh.. banyak kerja tidak siap, umur semakin tua dengan banyak matlamat hidup belum dicapai. Kurang rasa "bersyukur" disitu. Tidak perlu mempersiapkan diri, tiada puasa...tiada jaga mata...tiada baca al-Quran....tiadaaaaa....

Kita yang akan bertemu Ramadhan pula memberi satu gambaran harapan, cita-cita dan impian yang menggunung tinggi. Seringkali kedengaran doa agar diberkati bulan Rejab wa Syaaban dan sampaikan kami ke dalam Ramadhan diibacakan oleh imam mesjid, dibaca bersungguh-sungguh dengan hajat dapatlah merasai kelazatan beribadah di bulan penuh barakah ini. Pesta pra-ramadhan sudah bermula, al-Quran berhabuk diselak semula...puasa isnin & khamis bermula semula...qiam berdikit-dikit bertambah jumlahnya walaupun seringkali terbabas ke subuh, tidak mengapa...yang penting si hamba begitu teruja dan mempersiapkan diri dalam misi bertemu bulan yang digilai semua umat Islam sedunia!

Dua semangat yang berbeza. Anda semua di kondisi yang mana?

Inshallah ada beberapa hari untuk panaskan enjin dan jangan lupa untuk terus pecut bila sampai ke garisan permulaan nanti ye!


Hasil Nukilan, 
Amir Farid Sabuddin

Wednesday 4 July 2012

Manisnya Gula-Gula Itu....

Nabi Muhammad s.a.w sedang bermesyuarat dengan para sahabat ketika Saidatina Khadijah r.a sakit tenat. Bila mana selesai, baginda pulang menemui Khadijah, lantas menangis melihatkan keadaan Khadijah sedemikian; tidak mempunyai alas selimut yang mencukupi untuk menutupi badannya. Dari seorang wanita yang sangat kaya raya namun dipenghujung usianya adalah sebaliknya lalu Saidatina Khadijah r.a berkata "aku sudah berkorban harta untuk Islam namun aku belum lagi berkorban diriku untuk Islam. Ya Rasul Allah, setelah kewafatanku nanti, gunakanlah tulang belulangku untuk Islam".

"Tersedu sebentar + Mata berkaca"

Saudara ku sekalian, bagaimana tahap pengorbanan kita untuk Islam saat ini? Jauh sekali jurang kualiti pengorbanan para sahabat berbanding dengan kita namun itu seharusnya menjadi pelonjak semangat bagi kita semua mencontohi mereka.

Nah barangkali mungkin kita melihat satu sosok tubuh yang awal hariannya bangkit jam 5 pagi berqiam, sebelum subuh sudah di saf masjid, menunaikan sunat dhuha sebelum bermula kerja, berjalan tergesa agar sempat berada di saf pertama waktu zuhur, membentangkan sejadah dikala asar tiba, hanya sempat 15 minit makan bersama keluarga sebelum ke masjid untuk maghrib, menghabiskan pembacaan untuk usrah ketika sela waktu sebelum isyak dan terus berusrah/mesyuarat/dnt dan pulang berehat jam 1 pagi setiap hari adalah insan yang rugi kerana tidak menikmati nikmat dunia sebaiknya hatta masa bersama keluarga!. (ini mungkin persepsi orang di luar sana, antum semua inshallah tak tergolong). Ini semua tidak lain kerana rindu dan ghairah pada janji Allah buat orang yang berjuang mensyariatkan suruhannya di serata muka bumi.

Bilal bin Rabbah ketika ditanya saat paling manis dalam hidupnya, beliau lantas menjawab "ketika mana aku diseksa dipadang pasir ditengah panas terik" (kisah famous).

Hanya orang yang berkorban sahaja yang dapat merasai kemanisan. Hatta anak kecil sendiri tidak akan bosan dan berhenti menghisap gula-gula di tangannya selagi mana ianya belum habis. Seorang dai'e tidak akan berhenti berdakwah selagi mana manisnya belum habis dan nyawanya berhenti.


Hasil Nukilan,
Amir Farid Sabuddin

Saturday 9 June 2012

Hubungan Dengan Allah


Dalam kesibukan kita sehari-hari, pastikan kita sentiasa menjaga hubungan kita dgn Allah sebab amal-amal ni saja yg dapat kita carry forward bila kita mati nanti. Ikhlas pun salah satu faktor penting bila kita beramal. Pastikan kita buat amal tu untuk pandangan Allah dan bukan untuk pandangan manusia. Mutaba’ah yang kita buat pun sekadar guidelines dan KPI setting target setiap minggu je. At least kita boleh monitor progression kita. Tapi bukanlah something yang kita boleh megah-megah kepada orang lain, sebab kita kene jelas tentang tujuan hidup kita hanya untuk Allah.

Bila kita mampu meletakkan Allah sebagai priority kehidupan kita, jadi kita akan make sure yang apa kita buat sentiasa mendapat keredhaanNya. Sebagai seorang manusia, ana yakin mesti ada maksiat-maksiat yang tersembunyi yang kita buat tapi hanya kita dan Allah saja yang tahu. Jadi, jangan berputus asa untuk tinggalkan maksiat kita tu. Sebab takut maksiat tu yg akan jadi penghalang kita masuk syurga dan penyebab masuk neraka.

"Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-An'am, 6: 120)

Jadi, hopefully kita diberi kekuatan oleh Allah untuk terus istiqomah memegang amanah dalam kehidupan ni. Jangan kita letak mindset nak tangguhkan taubat dan nak lambat-lambat untuk berubah, takut-takut hati kita dah keras masa tu. Nasihat pun dah tak guna.

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Hadid, 57: 16)



Hasil Nukilan:
Mohd Zawawi bin Md Abdul Jabar

Wednesday 16 May 2012

Guru


Guru membangun generasi,
Bagai mentari menyinari alam,
Kau penggerak generasi harapan.

Dirimu bak mutiara suci murni,
Dihiasi akal budi mulia,
Digenggam erat paksi tauhid nan kukuh,
Menjana iman melonjakkan kebenaran hakiki,
Demi ummah terbilang.

Guru menabur bakti,
Mendidik hati generasi rabbani penuh inspirasi,
Perjuanganmu sarat dengan idealisme unggul,
Bukan wang dikejari,
Ikhlasmu menanti disyurgawi.

Moga semua Sang Guru kita,
Berfikir berzikir bermunajat untuk anak-anak muridmu,
Hidup bermakna dengan cahaya iman menyemarak obor,
Islam memipin alam.

Selamat berjaya dan cemerlang dunia akhirat untukmu para guru,
Kaulah insan mewarisi amanah Rasulallah SAW akhir zaman.

Monday 7 May 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu Adegan Lucah di Media Massa


Dalam hidup masyarakat yang jauh dari nilai agama, akhlak dan ketamadunan, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan selekeh yang ingin membunuh karakter seseorang. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh karier musuh politik masing-masing.

Beberapa hari lepas, seluruh negara dikejutkan dengan laporan muka depan beberapa akhbar arus perdana tempatan berbahasa Melayu. Perkara yang menjadi kejutan bukanlah laporan akhbar yang sudah kita maklum bercampur baur dengan fitnah, tetapi gambar-gambar lucah yang ditatapkan di muka depan akhbar-akhbar tersebut. Memalukan!

Sehubungan dengan itu, Futuwwah Excel Training Centre mengutuk sekeras-kerasnya adegan lucah yang disebarkan melalui media massa. Akhbar-akhbar tempatan yang dulunya berlumba-lumba menjadi penyebar idea dan pemikiran rakyat kini berlumba-lumba menjadi penyebar fitnah dan penyebar bahan lucah demi kepentingan individu dan politik!

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak kononnya untuk rakyat mengadili benar atau salah laporan itu. Walau dibogel dan dimalukan terlebih dahulu dalam akhbar arus perdana!

Wabak inilah sedang memakan pentas politik tempatan. Sedangkan Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah tutup keburukannya di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim)

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah diadili seadil-adilnya di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Malahan, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.

Ia berbeza dengan kes kezaliman dan kes jenayah terhadap orang lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Islam bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Amaran perlu diberi kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri dan masyarakat.

Seseorang Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam budaya fitnah, menyelak kain dan menghalalkan kelucahan tanpa mengira ideologi politik!

Justeru itu, Futuwwah Excel Training Centre menggesa agar media massa terbabit memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat di atas tindakan yang tidak bertamadun tersebut. Ini kerana, mereka harus bertanggungjawab di atas kerosakan dan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat. Sekiranya tidak, Futuwwah Excel Training Centre menyaran agar masyarakat keseluruhannya memboikot media massa tersebut sebagai balasan di atas pena-pena yang zalim.

Tuesday 1 May 2012

Selamat Hari Pekerja 2012

Futuwwah Excel Training Centre ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Semoga semua pekerja sama ada di sektor awam dan swasta akan terus bersemangat bekerja untuk menaik taraf diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Pengumuman gaji minimum yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, diharap dapat memperbaiki sosio ekonomi golongan pekerja di Malaysia ini, setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Semoga kebajikan para pekerja dapat terus dijaga dan diperbaiki hasil kerjasama para majikan, kesatuan pekerja dan kerajaan.

Wednesday 25 April 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu PTPTN


Polemik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) nampaknya kembali menggamit perhatian masyarakat di Malaysia. PTPTN yang diperkenalkan, merupakan badan yang memberikan skim pinjaman kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Justeru itu, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilaksanakan berkaitan badan tersebut.

Berhubung dengan isu ini, Futuwwah Excel Training Centre berpegang kepada dua (2) pendirian. Pertama – Skim pinjaman yang dilaksanakan oleh PTPTN perlulah bebas dari unsur yang diharamkan syarak. Sememangnya, pembangunan sistem dalam sistem pinjaman dan kewangan haruslah bebas dari riba bagi memastikan kehidupan yang diberkati oleh Allah. Ini bertepatan amaran Allah:

“Wahai orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba jika kamu orang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya, Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas pokok hartamu. Kamu tidak berbuat zalim dan tidak (pula) dizalimi.” (Al-Baqarah, 2: 278 – 279)

Ini bermakna, sebarang caj yang dikenakan terhadap peminjam mestilah berasaskan kos perkhidmatan atau pengurusan sebenar (termasuk kos peguam, cukai setem, dokumentasi, pengangkutan dan lain-lain) dan bukan sekadar meletakkan peratusan tertentu seperti satu peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang diberikan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar. Justeru itu, perlu dijelaskan sebenar-benarnya caj perkhidmatan yang dikenakan terhadap para peminjam supaya ianya benar-benar mewakili kos perkhidmatan dan bukannya sekadar peratusan berasaskan nilai atau jumlah pinjaman yang diberikan.

Kedua – Futuwwah Excel Training Centre menyeru agar pihak kerajaan dapat memperuntukkan bajet yang tinggi dalam menampung kos pengurusan PTPTN dan memperbanyakkan skim biasiswa dan skim pinjaman melalui institusi kewangan seperti MARA, JPA, Bank Islam dan agensi kerajaan yang lain terutama kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan juga pelajar dari kawasan luar bandar. Ini adalah langkah memperbanyakkan alternatif dalam membantu ribuan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi dan juga sebagai langkah permulaan dalam usaha untuk memperkasakan pendidikan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, kami berpegang teguh dengan pendirian yang dinyatakan dalam memastikan pendidikan dapat diperkasakan dan memberikan hak kepada semua warganegara tanpa mengira faktor agama, bangsa dan geografi.

Monday 9 April 2012

Masakan Ibu Sememangnya Lazat

Bagi seorang anak, antara manusia yang cukup rapat dengan dirinya adalah ibu dan bapanya. Justeru itu, apa saja perilaku sang bapa dan sang ibu cukup menjadikan seorang anak itu tertarik dengannya. Maknanya, apa sahaja yang ditunjukkan contoh seorang bapa kepada anak, pasti akan memberikan kesan kepada anak tersebut. Jika baik contohnya, insya Allah baiklah ikutan sang anak dan begitulah sebaliknya. Hinggakan, contoh yang diberikan tersebut, menjadikan seorang anak mengatakan bahawa ibu dan bapanya adalah manusia yang cukup lengkap atau perfect di sisinya. Tidak hairanlah, seorang anak lelaki yang sudah berkahwin, pasti tidak henti-henti masih lagi memuji masakan ibunya di depan isterinya. Sesedap mana pun masakan si isteri, masakan ibunya jugalah masih yang terbaik. Itulah penangan air tangan seorang ibu. Begitu juga seorang anak perempuan yang sudah berkahwin, pasti juga akan melakukan perbandingan antara suaminya dengan bapanya. Jika bapanya dianggap sebagai role model, pasti diharap juga, si suaminya begitu atau lebih baik lagi.






Pujian seorang anak terhadap masakan ibunya di hadapan isterinya, bukanlah bermakna untuk memperlekehkan kemampuan seorang isteri. Pujian tersebut merangkumi dua sebab; Pertama: Pujian itu mengharapkan si isteri berusaha untuk belajar daripada ibu mertuanya agar resepi-resepi tersebut boleh diwarisi. Kedua: Itu menggambarkan lumrah. Mana mungkin masakan seorang wanita yang dikahwini baru 2-3 tahun mampu menandingi masakan ibunya selama lebih 20 tahun yang sudah sebati dengannya. Justeru itu, seorang isteri tidak seharusnya berkecil hati kerana, anak-anaknya nanti mungkin akan melakukan perkara yang sama. Jika suaminya amat menyanjung masakan ibu mertuanya, tidak mustahil anak-anaknya juga akan menyanjung masakannya apabila mereka sudah berkahwin.




Di sebalik pujian menggunung itu, pasti juga si suami akan bersifat redha akan kemampuan isterinya seperti redhanya bapanya kepada ibunya. Mana ada manusia yang bersifat sempurna yang boleh memuaskan semua kehendak pasangannya. Seorang lelaki pasti inginkan isteri yang pakej lengkap dari segi agama, kecantikan, keturunan dan harta tetapi, meskipun memperolehinya, itu sebenarnya tidak menjamin  seorang lelaki itu puas akan segala-galanya. Bagaimana seseorang itu mahukan isteri yang sehebat Fatimah sedangkan dirinya tidak sehebat Ali.

Begitu juga dengan dakwah kita. Mana ada gerakan atau jemaah yang sempurna, naqib yang perfect dan ikhwah akhwat yang hebat dalam semua segi. Pasti ada kelemahan dalam beberapa segi. Kalaulah kita mencari golongan yang perfect semata-mata, pasti tidak akan ketemu. Rasulullah sendiri pada zaman baginda, hanya bagindalah manusia yang sempurna dan menjadi rujukan para sahabat. Para sahabat sendiri pun tidak mampu menandingi kehebatan baginda, cuma kelebihan mereka ialah mereka selalu berdamping dengan Rasulullah. Di samping kelebihan dan kekurangan yang ada pada para Sahabat, Rasulullah tetap memanfaatkan mereka secara optimum di dalam dakwah.

Firman Allah: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran, 3: 103 – 104)

Justeru itu, bukanlah kesempurnaan yang dicari dalam melakukan dakwah ini tetapi bagaimana peranan pendakwah itu sendiri mewujudkan kekuatan dalam dakwah. Oleh itu, marilah sama-sama meneruskan perjuangan di samping melakukan pengislahan, moga-moga kita bersama merasai nikmatnya berdakwah ini kelak.

Wallahua’lam.                 


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Monday 26 March 2012

Program Nuqoba' di SMA Nilai

Pada 24 dan 25 Mac 2012, Pihak Futuwwah Excel Training Centre dengan kerjasama Sek. Men. Agama Nilai (SMAN) telah menjayakan Program Nuqaba' untuk melatih bakal naqib dan naqibah dalam menerajui usrah dan tarbiyah di sekolah tersebut. Seramai 35 orang nuqoba' yang terdiri daripada 18 orang naqib dan 17 orang naqibah menghadiri program tersebut yang dikelolakan seramai 10 orang fasilitator.

Program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" yang disampaikan oleh Akh Nur Bakri bin Abd Hamid. Ceramah ini memberi gambaran secara asas apa yang diperlukan oleh seorang Muslim dan apa yang perlu dilaksanakan dalam konteks dakwah. Sejurus ceramah, para nuqoba' dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu dua kumpulan naqib dan dua kumpulan naqibah untuk aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). LDK 1 berjalan dengan melaksanakan proses taaruf di kalangan ahli kumpulan dan fasilitator dan tilawah al-Quran. LDK 2 yang bertajuk "Fasadul Ummat" atau "Kerosakan Ummat" merupakan perbincangan lebih lanjut mengenai kerosakan ummat pada masa kini dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap Muslim. Selepas solat Isyak, diteruskan program dengan LDK 3 yang bertajuk "Sistem Usrah". Tujuan LDK ini adalah memberi gambaran atau guideline kepada bakal nuqoba', bagaimana untuk menguruskan usrah. Justeru itu, rukun Usrah dan ciri-ciri Usrah berjaya turut ditekankan agar peserta memahami dan berani untuk megendalikan usrah.

Pada keesokan harinya, program diteruskan dengan Ceramah 2 yang disampaikan oleh Akh Muhammad Hafiz bin Kassim. Ceramah yang bertajuk "Kelebihan dan Kepentingan Berdakwah" membawa para peserta kepada kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah, para Sahabat dan pendakwah sebelum ini. Berdakwah sebenarnya bukanlah dilaksanakan dengan paksaan sebaliknya seorang pendakwah itu harus tahu mengapa dia perlu berdakwah. Berdakwah merupakan suatu kerja yang wajib dilakukan dan juga merupakan sunnah Rasulullah yang paling besar. LDK 4 yang bertajuk "Risalah Pemuda" memberi kefahaman kepada peserta yang kesemuanya adalah pemuda tentang peranan yang harus mereka pikul dalam menyebarkan dakwah Islam. Diberikan contoh para sahabat yang melaksanakan dakwah pada usia muda seperti Ali bin Abi Talib dan Mush'ab bin Umair. Dibangkitkan juga kisah-kisah seperti Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fateh yang menggegarkan dunia pada usia muda.

Program berakhir dengan Majlis Penutupan Program Nuqaba'. Wakil Futuwwah Excel Training Centre yang juga merupakan Pengarah Program, Engr. Abu Hanifah bin Mohd Kamal diberi peluang untuk menyampaikan sedikit ucapan mewakili Futuwwah Excel. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sesebuah institusi ataupun organisasi haruslah istiqamah membawa dan menyampaikan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para Sahabat dan tokoh-tokoh Islam terdahulu. Sekiranya Islam itu didaulatkan, nescaya organisasi tersebut akan kekal kukuh dan utuh. Jika tidak, sebaliknya yang akan terjadi. Beliau juga yakin bahawa SMA Nilai mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah elit yang lain memandangkan keputusan SPM 2011, SMA Nilai mencatatkan kedudukan Pertama bagi kategori Sekolah Bantuan Kerajaan di N.Sembilan. Majlis Penutupan disempurnakan oleh GPK Kokurikulum, Puan Norizan bt Mohd Kalam. Beliau berbangga dengan berjayanya Program Nuqaba' dijalankan dengan lancar hasil kerjasama dengan Futuwwah Excel Training Centre. Beliau juga berharap, kerjasama ini akan terus terjalin antara kedua-dua belah pihak. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pihak Futuwwah Excel Training Centre oleh pihak SMA Nilai.

Untuk gambar-gambar sepanjang program, boleh layari http://futuwwah-excel.blogspot.com/p/galeri.html.

Wednesday 21 March 2012

Tahniah Kepada Semua Calon SPM 2011

Pihak Futuwwah Excel Training Centre merakamkan ucapan TAHNIAH kepada semua calon SPM 2011, terutama yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagi yang kurang cemerlang, nasihat kami, janganlah cepat berputus asa kerana mungkin ada pelangi indah menanti di akhir ribut badai. Hadapilah musibah dan kedukaan dengan sabar dan solat, seraya bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri. Janganlah ditiru perangainya sebahagian "ahlud dunia" yang menghadapi kegagalan dengan melakukan maksiat.

Dengan keputusan yang diperolehi ini, diharap adik-adik redha, berbaik sangka dan terus menerus mendekatkan diri dengan Allah di samping terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Wednesday 14 March 2012

Keutamaan Ilmu, Belajar dan Mengajar

Tentang keutamaan ilmu, dalil-dalil dari Al-Quran sangat banyak. Di antaranya:

Firman Allah: “…..nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat…..” (Al-Mujadilah, 58: 11)

Ibnu Abbas berkata, “Darjat para ulama berada di atas kaum muslimin sejauh tujuh ratus darjat. Jarak antara darjat adalah (sejauh) tujuh ratus tahun.”

Firman Allah: “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar, 39: 9)

Firman Allah: “Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama..” (Fathir, 35: 28)

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Manusia terbaik adalah orang mukmin yang berilmu yang apabila dibutuhkan maka dia member manfaat, dan apabila tidak dibutuhkan maka dia mencukupi dirinya sendiri.”

Fatah al-Mushili berkata, “Bukankah apabila orang sakit tidak diberi makan, minum dan ubat, maka dia akan mati?” Lalu seseorang menjawab, “Benar.” Fatah berkata, “Begitu juga dengan hati. Apabila hati terhalang dari hikmah dan ilmu selama tiga hari, maka hati tersebut akan mati.”

Perkataan Fatah merupakan suatu kebenaran. Makanan bagi hati adalah ilmu dan hikmah. Tetapi, hati yang tidak merasakan kedua-duanya akibat kesibukan-kesibukan dunia, maka hal itu akan mematikan sensitivitinya. Apabila kematian itu telah menyingkap kesibukan-kesibukan itu darinya maka dia akan merasakan seksaan besar dan penyesalan yang tidak berakhir.


Tentang keutamaan belajar, dalilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada penuntut ilmu kerana mereka redha atas apa yang diperbuatnya.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kamu pergi pagi hari lalu mempelajari satu bab dari ilmu, maka hal itu lebih baik daripada kamu melaksanakan solat sebanyak seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)


Tentang keutamaan mengajar, dalilnya adalah firman Allah s.w.t.:

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi Kitab (iaitu), ‘Hendaklah kamu menerangkannya (isi Kitab itu) kepada manusia dan janganlah kamu menyembunyikannya….’” (Ali-Imran, 3: 187)

Ketika membaca ayat tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Allah tidak menganugerahkan ilmu kepada seorang alim, kecuali Dia mengambil janji darinya, sebagaimana janji yang telah Ia ambil dari para nabi, iaitu janji untuk menjelaskan ilmu tersebut dan tidak menyembunyikannya.”

Umar r.a. berkata, “Barang siapa yang menyampaikan sebuah hadith, lalu hadith itu diamalkan, maka ia mendapat pahala amal seperti pahala orang yang mengamalkan amal tersebut.”

Muadz bin Jabal berkata tentang belajar dan mengajar dan menurut Imam al-Ghazali, perkataannya itu termasuk hadith marfu’ iaitu, “Pelajarilah ilmu. Sungguh, mempelajari ilmu untuk Allah merupakan suatu kebaikan, menuntut ilmu merupakan suatu ibadah, mengkajinya merupakan tasbih, membahasnya merupakan jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya merupakan sedekah dan mendermakannya kepada ahlinya merupakan amal yang mendekatkan diri kepada Allah. Ilmu merupakan teman dalam kesendirian, sahabat dalam kesepian, petunjuk menuju agama, pembentuk kesabaran dalam menghadapi kesenangan dan kesengsaraan, pembantu bagi orang-orang yang bersahabat, teman bagi orang-orang yang berteman dan penerang menuju jalan ke syurga.”

Rujukan:

1) Imam Al-Ghazali, “Mukhtashar Ihya Ulumiddin (Jalan Menuju Penyucian Jiwa),” Pena Pundi Aksara, 2008.


Hasil Nukilan:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Monday 27 February 2012

Laskar Pelangi

Mimpi adalah kunci
Untuk kita menakhlukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya

Laskar Pelangi
Tak kan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Selamanya...

Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita

Laskar Pelangi
Tak kan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Selamanya...
Selamanya...