Wednesday 30 January 2013

Tarbiyah Remaja - Pembinaan Rijal Dakwah Idaman


"Malaysia tidak harus terus berharap kepada Lee Chong Wei untuk mendapat kejayaan dalam sukan badminton. Kita perlu mencari pemain-pemain muda sebagai pemain pelapis negara. Jika tiada, kita harus kembali ke peringkat akar umbi untuk membina pemain-pemain remaja seperti yang dilaksanakan oleh kuasa-kuasa badminton seperti China dan Indonesia. Kita memang tidak akan mendapat kejayaan dengan segera, tapi, pada masa akan datang, kita akan beroleh kejayaan dalam tempoh yang lama dan berterusan dengan munculnya jaguh-jaguh badminton muda yang ramai." ulas Misbun Sidek mengenai keadaan sukan badminton negara sekarang.

Agak unik pemikiran Misbun Sidek mengenai masa depan sukan badminton. Sebagai bekas jagoan dan jurulatih Kelab Nusa Mahsuri, beliau sendiri mempunyai perancangan masa depan yang sangat teliti untuk kejayaan sukan tersebut pada masa akan datang. Rumusannya, saya melihat, kita tidak harus terus mengharapkan kekuatan yang sedia ada, tapi kita harus terus memikirkan jangka masa panjang apa yang harus kita buat.

Begitu juga dalam dakwah. Kita jangan terlalu berpuas hati dan hanya mengharapkan beberapa individu untuk membawa risalah dakwah ini. Dakwah ni terlalu banyak medan dan kita akan terus berasa letih jika tidak cukup orang dan kekuatan menyantuni mad'u kita. Jadi, mengapa tidak kita berfikir seperti apa yang Misbun Sidek berfikir? Selain ketentuan Allah, seharusnya strategi dalam dakwah juga sangat-sangat penting.

Kita perlu kembali ke akar umbi untuk membina para rijal iaitu remaja. Kita perlu perkenalkan dan mematangkan mereka dengan dakwah dan membina mereka sebaik-baiknya menjadi generasi Rabbani yang bersedia untuk bergelumang dengan dakwah bersama-sama kita. Pembinaan rijal-rijal ini pastinya akan mengambil masa yang lama tapi bukankah itu sunnatullah? Pembinaan rijal ini akan memberi impak yang sangat besar apabila mereka memasuki alam belia suatu hari nanti. 

Firman Allah: " .... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)

Firman Allah: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.'" (Al-Kahfi, 18: 13 - 14)

Jika ada yang bertanya, adakah ia akan berhasil? Ya, saya amat-amat optimis seperti optimisnya Misbun Sidek. Mengapa kita selalu mengharapkan kejayaan yang cepat tapi sementara? Bukankah lebih baik kita bersabar demi mencapai kejayaan untuk tempoh yang lama dan berterusan?

Kuat atau lemah sesebuah masyarakat itu bergantung pada pemudanya. Jika hebat pemudanya, maka kuatlah masyarakat itu. Jika rosak pemudanya, maka lemahlah masyarakat itu. Kita harus membina para remaja dan pemuda di luar sana untuk membina kembali bangunan Islam yang hampir roboh. Usah biarkan potensi mereka dibiarkan tanpa dimanfaatkan langsung untuk dakwah ini. Kini, remaja, bukan lagi golongan yang disibukkan dengan aktiviti persekolahan, peperiksaan, kelas tambahan dan games sahaja, bahkan sudah tiba masanya disibukkan dengan usrah dan amal-amal dakwah. Kita harus membina mereka menjadi rijal-rijal dakwah idaman seperti terbinanya tokoh-tokoh remaja zaman Rasulullah dan para Sahabat.

"Andai diumpama Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tetapi aku ingin hati-hati yang IKHLAS untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah." - As-Syahid Hasan al-Banna.

Wallahua'lam


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Thursday 3 January 2013

Muslim Soccer

Sebuah filem berunsur komedi bertajuk “Shaolin Soccer” yang ditayangkan pada tahun 2001 tiba-tiba menggamit ingatan saya. Filem yang mengisahkan bagaimana usaha watak utama lakonan Stephen Chow ini hendak menyebarkan fikrah kungfu shaolin ini kepada masyarakat, maka diusahakanlah pelbagai cara seperti membuat persembahan nyanyian dan sebagainya. Tidak berjaya lagi, maka diteruskan usaha sehinggalah ketemu idea untuk membentuk satu pasukan bola sepak untuk menyebarkan fikrah kungfu shaolin itu. Untuk merealisasikan usaha itu, maka dikumpulkan rakan-rakannya yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam kungfu seperti tangan besi, kepala besi dan sebagainya.



Meskipun tanpa pemain berstatus bintang yang ramai (seperti Barcelona), tidak mempunyai dana yang besar (seperti Manchester City dan Real Madrid) dan tidak mempunyai pengurus dan jurulatih yang hebat (seperti Manchester United), tetap saja mereka mampu membentuk satu pasukan mantap yang dikenali sebagai Shaolin Soccer. Dengan serba kekurangan pemain dan kelengkapan, pasukan ini mampu saja terus berusaha untuk membentuk sebuah pasukan yang baik dan disegani hingga bukan sahaja dapat menyebarkan fikrah kungfu shaolin, bahkan menjadi juara mengenepikan pasukan-pasukan yang lebih hebat. Apakah resepi mereka? Mereka istiqamah, kreatif dan berjuang habis-habisan untuk mencapai kejayaan itu.

Saudara & Saudari sekalian,
Seorang Shaolin, boleh saja istiqamah, kreatif dan berjuang habis-habisan untuk menyebarkan fikrah kungfu shaolin itu. Mengapa tidak kita sebagai seorang Muslim? Bukanlah yang dikehendaki dalam dakwah ini, orang-orang yang hebat, dana yang banyak dan orang yang mempunyai pengaruh yang kuat, tapi cukup sekadar dai’e-dai’e yang ikhlas berjuang di jalan-Nya. Mudah sekali kita berasa down ketika tidak ramai yang bersama kita. Mudah sekali kita berasa down ketika ramai yang meninggalkan kita. Mudah juga kita berasa down ketika usaha-usaha kita dicantas dan tidak membuahkan hasil. Sentiasalah kita berdoa agar kita menjadi dai’e yang sentiasa istiqamah di jalan-Nya, kreatif untuk menyebarkan dakwah dan berjuang habis-habisan untuk mencapai matlamat kita.

Firman Allah: “Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.’” (At-Taubah, 9: 105)

Barangkali, kita perlu mewujudkan Muslim Soccer sebagai sarana untuk menyebarkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan seperti apa yang dibuktikan oleh Stephen Chow dan rakan-rakan.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal