Monday 26 March 2012

Program Nuqoba' di SMA Nilai

Pada 24 dan 25 Mac 2012, Pihak Futuwwah Excel Training Centre dengan kerjasama Sek. Men. Agama Nilai (SMAN) telah menjayakan Program Nuqaba' untuk melatih bakal naqib dan naqibah dalam menerajui usrah dan tarbiyah di sekolah tersebut. Seramai 35 orang nuqoba' yang terdiri daripada 18 orang naqib dan 17 orang naqibah menghadiri program tersebut yang dikelolakan seramai 10 orang fasilitator.

Program bermula dengan Ceramah 1 yang bertajuk "Apa Ertinya Saya Menganut Islam?" yang disampaikan oleh Akh Nur Bakri bin Abd Hamid. Ceramah ini memberi gambaran secara asas apa yang diperlukan oleh seorang Muslim dan apa yang perlu dilaksanakan dalam konteks dakwah. Sejurus ceramah, para nuqoba' dipecahkan kepada empat kumpulan iaitu dua kumpulan naqib dan dua kumpulan naqibah untuk aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK). LDK 1 berjalan dengan melaksanakan proses taaruf di kalangan ahli kumpulan dan fasilitator dan tilawah al-Quran. LDK 2 yang bertajuk "Fasadul Ummat" atau "Kerosakan Ummat" merupakan perbincangan lebih lanjut mengenai kerosakan ummat pada masa kini dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap Muslim. Selepas solat Isyak, diteruskan program dengan LDK 3 yang bertajuk "Sistem Usrah". Tujuan LDK ini adalah memberi gambaran atau guideline kepada bakal nuqoba', bagaimana untuk menguruskan usrah. Justeru itu, rukun Usrah dan ciri-ciri Usrah berjaya turut ditekankan agar peserta memahami dan berani untuk megendalikan usrah.

Pada keesokan harinya, program diteruskan dengan Ceramah 2 yang disampaikan oleh Akh Muhammad Hafiz bin Kassim. Ceramah yang bertajuk "Kelebihan dan Kepentingan Berdakwah" membawa para peserta kepada kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah, para Sahabat dan pendakwah sebelum ini. Berdakwah sebenarnya bukanlah dilaksanakan dengan paksaan sebaliknya seorang pendakwah itu harus tahu mengapa dia perlu berdakwah. Berdakwah merupakan suatu kerja yang wajib dilakukan dan juga merupakan sunnah Rasulullah yang paling besar. LDK 4 yang bertajuk "Risalah Pemuda" memberi kefahaman kepada peserta yang kesemuanya adalah pemuda tentang peranan yang harus mereka pikul dalam menyebarkan dakwah Islam. Diberikan contoh para sahabat yang melaksanakan dakwah pada usia muda seperti Ali bin Abi Talib dan Mush'ab bin Umair. Dibangkitkan juga kisah-kisah seperti Salahuddin Al-Ayubi dan Muhammad Al-Fateh yang menggegarkan dunia pada usia muda.

Program berakhir dengan Majlis Penutupan Program Nuqaba'. Wakil Futuwwah Excel Training Centre yang juga merupakan Pengarah Program, Engr. Abu Hanifah bin Mohd Kamal diberi peluang untuk menyampaikan sedikit ucapan mewakili Futuwwah Excel. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sesebuah institusi ataupun organisasi haruslah istiqamah membawa dan menyampaikan Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah, para Sahabat dan tokoh-tokoh Islam terdahulu. Sekiranya Islam itu didaulatkan, nescaya organisasi tersebut akan kekal kukuh dan utuh. Jika tidak, sebaliknya yang akan terjadi. Beliau juga yakin bahawa SMA Nilai mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah elit yang lain memandangkan keputusan SPM 2011, SMA Nilai mencatatkan kedudukan Pertama bagi kategori Sekolah Bantuan Kerajaan di N.Sembilan. Majlis Penutupan disempurnakan oleh GPK Kokurikulum, Puan Norizan bt Mohd Kalam. Beliau berbangga dengan berjayanya Program Nuqaba' dijalankan dengan lancar hasil kerjasama dengan Futuwwah Excel Training Centre. Beliau juga berharap, kerjasama ini akan terus terjalin antara kedua-dua belah pihak. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada pihak Futuwwah Excel Training Centre oleh pihak SMA Nilai.

Untuk gambar-gambar sepanjang program, boleh layari http://futuwwah-excel.blogspot.com/p/galeri.html.

Wednesday 21 March 2012

Tahniah Kepada Semua Calon SPM 2011

Pihak Futuwwah Excel Training Centre merakamkan ucapan TAHNIAH kepada semua calon SPM 2011, terutama yang mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagi yang kurang cemerlang, nasihat kami, janganlah cepat berputus asa kerana mungkin ada pelangi indah menanti di akhir ribut badai. Hadapilah musibah dan kedukaan dengan sabar dan solat, seraya bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri. Janganlah ditiru perangainya sebahagian "ahlud dunia" yang menghadapi kegagalan dengan melakukan maksiat.

Dengan keputusan yang diperolehi ini, diharap adik-adik redha, berbaik sangka dan terus menerus mendekatkan diri dengan Allah di samping terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Wednesday 14 March 2012

Keutamaan Ilmu, Belajar dan Mengajar

Tentang keutamaan ilmu, dalil-dalil dari Al-Quran sangat banyak. Di antaranya:

Firman Allah: “…..nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat…..” (Al-Mujadilah, 58: 11)

Ibnu Abbas berkata, “Darjat para ulama berada di atas kaum muslimin sejauh tujuh ratus darjat. Jarak antara darjat adalah (sejauh) tujuh ratus tahun.”

Firman Allah: “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar, 39: 9)

Firman Allah: “Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama..” (Fathir, 35: 28)

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Manusia terbaik adalah orang mukmin yang berilmu yang apabila dibutuhkan maka dia member manfaat, dan apabila tidak dibutuhkan maka dia mencukupi dirinya sendiri.”

Fatah al-Mushili berkata, “Bukankah apabila orang sakit tidak diberi makan, minum dan ubat, maka dia akan mati?” Lalu seseorang menjawab, “Benar.” Fatah berkata, “Begitu juga dengan hati. Apabila hati terhalang dari hikmah dan ilmu selama tiga hari, maka hati tersebut akan mati.”

Perkataan Fatah merupakan suatu kebenaran. Makanan bagi hati adalah ilmu dan hikmah. Tetapi, hati yang tidak merasakan kedua-duanya akibat kesibukan-kesibukan dunia, maka hal itu akan mematikan sensitivitinya. Apabila kematian itu telah menyingkap kesibukan-kesibukan itu darinya maka dia akan merasakan seksaan besar dan penyesalan yang tidak berakhir.


Tentang keutamaan belajar, dalilnya adalah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada penuntut ilmu kerana mereka redha atas apa yang diperbuatnya.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika kamu pergi pagi hari lalu mempelajari satu bab dari ilmu, maka hal itu lebih baik daripada kamu melaksanakan solat sebanyak seratus rakaat.” (HR Ibnu Majah)


Tentang keutamaan mengajar, dalilnya adalah firman Allah s.w.t.:

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi Kitab (iaitu), ‘Hendaklah kamu menerangkannya (isi Kitab itu) kepada manusia dan janganlah kamu menyembunyikannya….’” (Ali-Imran, 3: 187)

Ketika membaca ayat tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Allah tidak menganugerahkan ilmu kepada seorang alim, kecuali Dia mengambil janji darinya, sebagaimana janji yang telah Ia ambil dari para nabi, iaitu janji untuk menjelaskan ilmu tersebut dan tidak menyembunyikannya.”

Umar r.a. berkata, “Barang siapa yang menyampaikan sebuah hadith, lalu hadith itu diamalkan, maka ia mendapat pahala amal seperti pahala orang yang mengamalkan amal tersebut.”

Muadz bin Jabal berkata tentang belajar dan mengajar dan menurut Imam al-Ghazali, perkataannya itu termasuk hadith marfu’ iaitu, “Pelajarilah ilmu. Sungguh, mempelajari ilmu untuk Allah merupakan suatu kebaikan, menuntut ilmu merupakan suatu ibadah, mengkajinya merupakan tasbih, membahasnya merupakan jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya merupakan sedekah dan mendermakannya kepada ahlinya merupakan amal yang mendekatkan diri kepada Allah. Ilmu merupakan teman dalam kesendirian, sahabat dalam kesepian, petunjuk menuju agama, pembentuk kesabaran dalam menghadapi kesenangan dan kesengsaraan, pembantu bagi orang-orang yang bersahabat, teman bagi orang-orang yang berteman dan penerang menuju jalan ke syurga.”

Rujukan:

1) Imam Al-Ghazali, “Mukhtashar Ihya Ulumiddin (Jalan Menuju Penyucian Jiwa),” Pena Pundi Aksara, 2008.


Hasil Nukilan:
Abu Hanifah bin Mohd Kamal