Wednesday 16 May 2012

Guru


Guru membangun generasi,
Bagai mentari menyinari alam,
Kau penggerak generasi harapan.

Dirimu bak mutiara suci murni,
Dihiasi akal budi mulia,
Digenggam erat paksi tauhid nan kukuh,
Menjana iman melonjakkan kebenaran hakiki,
Demi ummah terbilang.

Guru menabur bakti,
Mendidik hati generasi rabbani penuh inspirasi,
Perjuanganmu sarat dengan idealisme unggul,
Bukan wang dikejari,
Ikhlasmu menanti disyurgawi.

Moga semua Sang Guru kita,
Berfikir berzikir bermunajat untuk anak-anak muridmu,
Hidup bermakna dengan cahaya iman menyemarak obor,
Islam memipin alam.

Selamat berjaya dan cemerlang dunia akhirat untukmu para guru,
Kaulah insan mewarisi amanah Rasulallah SAW akhir zaman.

Monday 7 May 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu Adegan Lucah di Media Massa


Dalam hidup masyarakat yang jauh dari nilai agama, akhlak dan ketamadunan, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan selekeh yang ingin membunuh karakter seseorang. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh karier musuh politik masing-masing.

Beberapa hari lepas, seluruh negara dikejutkan dengan laporan muka depan beberapa akhbar arus perdana tempatan berbahasa Melayu. Perkara yang menjadi kejutan bukanlah laporan akhbar yang sudah kita maklum bercampur baur dengan fitnah, tetapi gambar-gambar lucah yang ditatapkan di muka depan akhbar-akhbar tersebut. Memalukan!

Sehubungan dengan itu, Futuwwah Excel Training Centre mengutuk sekeras-kerasnya adegan lucah yang disebarkan melalui media massa. Akhbar-akhbar tempatan yang dulunya berlumba-lumba menjadi penyebar idea dan pemikiran rakyat kini berlumba-lumba menjadi penyebar fitnah dan penyebar bahan lucah demi kepentingan individu dan politik!

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak kononnya untuk rakyat mengadili benar atau salah laporan itu. Walau dibogel dan dimalukan terlebih dahulu dalam akhbar arus perdana!

Wabak inilah sedang memakan pentas politik tempatan. Sedangkan Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah tutup keburukannya di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim)

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah diadili seadil-adilnya di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Malahan, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.

Ia berbeza dengan kes kezaliman dan kes jenayah terhadap orang lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Islam bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Amaran perlu diberi kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri dan masyarakat.

Seseorang Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam budaya fitnah, menyelak kain dan menghalalkan kelucahan tanpa mengira ideologi politik!

Justeru itu, Futuwwah Excel Training Centre menggesa agar media massa terbabit memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat di atas tindakan yang tidak bertamadun tersebut. Ini kerana, mereka harus bertanggungjawab di atas kerosakan dan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat. Sekiranya tidak, Futuwwah Excel Training Centre menyaran agar masyarakat keseluruhannya memboikot media massa tersebut sebagai balasan di atas pena-pena yang zalim.

Tuesday 1 May 2012

Selamat Hari Pekerja 2012

Futuwwah Excel Training Centre ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Semoga semua pekerja sama ada di sektor awam dan swasta akan terus bersemangat bekerja untuk menaik taraf diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Pengumuman gaji minimum yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, diharap dapat memperbaiki sosio ekonomi golongan pekerja di Malaysia ini, setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Semoga kebajikan para pekerja dapat terus dijaga dan diperbaiki hasil kerjasama para majikan, kesatuan pekerja dan kerajaan.