Sunday 19 August 2012

Eid Mubarak


Futuwwah Excel Training Centre mengucapkan Selamat Hari Raya Eidil Fitri kepada pengunjung setia web http://futuwwah-excel.blogspot.com dan seluruh muslimin dan muslimat. Semoga Allah menerima segala amalan kita.
Taqabalallahu Minna Wa Minkum...

Saturday 18 August 2012

Lapar Itu Manis


Firman Allah: "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah, 2: 183)

Kebanyakan kita tahu dan sedar akan hikmah-hikmah berpuasa. Di antara hikmah yang paling jelas ialah bagaimana kita dapat merasai kesusahan dan kepenatan ketika berpuasa. Pastinya, kita mengenang saudara-saudara kita di tempat lain yang mengalami kesusahan seperti di Palestin, Syria, Iraq, Libya, Indonesia, Myanmar dan lain-lain lagi. Ketika kita masih berupaya makan makanan yang enak-enak di rumah ataupun memenuhi jemputan berbuka puasa di hotel dan restoran, sedangkan saudara-saudara kita masih bertarung nyawa untuk mendapat sesuap nasi. Oh, dunia...

Dalam firman Allah di atas, sebenarnya, tujuan diwajibkan berpuasa adalah untuk menjadikan diri kita bertakwa. Bersungguh-sungguh dalam berpuasa dan mengenang nasib saudara-saudara kita juga adalah takwa. Dan itulah hikmahnya berpuasa. Sememangnya, kelaparan yang kita alami sebenarnya jika dilihat di sebalik firman Allah ini, begitu manis, semanis yang dialami orang yang bertahajud di waktu malam ketika yang lain sedang nyenyak tidur. Juga, kemanisan yang ditunjukkan oleh seorang ibu yang sanggup berlapar demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan. Alangkah indah dan manisnnya berpuasa bagi orang yang betul-betul menghayati hikmah puasa itu dan alangkah ruginya bagi golongan yang tidak berpuasa kerana pada dirinya hanya memikirkan perut dan lapar diri sendiri sahaja.

Semoga Ramadhan kali ini menggamit diri kita menjadi orang yang bertakwa dan mengambil berat di atas nasib saudara-saudara kita di luar sana. Semoga kemanisan Ramadhan ini dipertemukan oleh Allah lagi pada masa akan datang.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Thursday 16 August 2012

Anak Yatim - Diraikan 1 Bulan, Dipinggirkan 11 Bulan


Saya amat memerhatikan perubahan setiap dari kita ketika menjelang Ramadhan melalui pemerhatian mata saya, melalui media massa dan lain-lain. Inilah yang sering berlaku ketika bulan Ramadhan, bulan di mana umat Islam berebut-rebut kembali kepada fitrahnya. Yang jarang berpuasa sunat, lantas mampu saja berpuasa sebulan. Yang jarang solat jemaah di masjid, kerap kali menghadirkan diri ke masjid. Tidak kurang juga, ada yang rajin bersedekah pada yang kurang berkemampuan.

Ketika Ramadhan ini juga la, Rumah-Rumah Anak Yatim penuh dengan tempahan; bukan tempahan hendak memenuhkan tempat, tetapi tempahan untuk memberikan bantuan, baju raya, duit raya dan majlis berbuka puasa. Adakah ini adat ketika bulan Ramadhan? Memang digalakkan bantuan sebegini, cuma, kenapa hanya ketika bulan Ramadhan? Kenapa hanya di bulan Ramadhan, baru teringat kepada anak yatim dan badan-badan korporat muncul memberikan sumbangan? 

Barangkali kita cukup bernasib baik. Saya sendiri juga rasa cukup bertuah. Kita tidak merasa apa yang anak yatim rasa. Kita tidak rasa kehilangan ibu bapa sejak kecil atau sejak bayi. Kita tidak rasa terpinggir di sebuah rumah yang jauh dari masyarakat lain. Kita tidak rasa linangan air mata mengingati ibu dan ayah yang sudah tiada. Kita tidak rasa kerinduan seorang anak terhadap belaian ibu dan ayahnya. Segala-galanya mungkin mudah buat kita sebab ibu bapa kita ada.

Alhamdulillah syukur, ada juga golongan yang mahu memberi bantuan kepada anak yatim, tetapi bagi saya, haruslah diperluaskan adat itu. Bukan hanya memberi bantuan ketika bulan Ramadhan saja tetapi juga ketika bulan-bulan yang lain. Sama juga, 'ketaksuban' orang Melayu terhadap amalan membaca Yassin; kan bagus kalau diperluaskan lagi supaya tidak hanya membaca surah Yassin saja tetapi juga surah-surah lain dalam Al-Quran.

Firman Allah: "Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih." (Al-Insaan, 76: 8 - 9)

Justeru itu, janganlah Anak Yatim itu menjadi golongan yang diraikan sebulan tetapi terpinggir 11 bulan. Hanya diingati ketika menjelang Hari Raya namun dilupai pada waktu yang lain. Mereka juga manusia seperti kita dan mempunyai hak yang sama juga dengan kita.
Wallahua'lam.

 
Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Friday 10 August 2012

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu Rohingya

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Sejak puluhan tahun lagi mereka telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi manusia yang sistematik dan meluas di tangan junta tentera Myanmar. Bahkan, kekejaman massa yang dilakukan terhadap minoriti Rohingya di wilayah Rakhine mungkin merupakan antara jenayah kemanusiaan yang terdahsyat di abad ini.

Siapakah mereka? Umat Islam Rohingya berasal dari keturunan para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat sepaerti Mughals, Pathan dan Bengali. Penyebaran Islam di Rakhine (dahulu dikenali sebagai Arakan, barat Myanmar) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Rakhine, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha.

Antara kekejaman dan pencabulan hak asasi terhadap etnik Rohingya oleh junta tentera Myanmar:
  1. Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka
  2. Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayah Arakan
  3. Sekatan makanan sehingga hidup kebuluran
  4. Sekatan ekonomi, kemudahan Kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
  5. Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja di tapak pembinaan bangunan tentera
  6. Pengusiran etnik Rohingya ke Bangladesh sejak puluhan tahun lalu.

Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun melarikan diri ke Malaysia bagi mendapatkan bantuan kemanusiaan daripada saudara seakidah mereka. Di Malaysia sahaja terdapat lebih 30,000 pelarian Rohingya. Futuwwah Excel Training Centre menggesa rakyat Malaysia supaya mengambil peluang menunjukkan keprihatinan dengan meringankan beban mereka sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW;

Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”


Beberapa saranan Futuwwah Excel Training Centre:

  1. Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil inisiatif untuk menjuarai isu umat Islam Rohingya samada di peringkat antarabangsa dengan menyuarakan permasalahan kronik ini di persidangan OIC, PBB, WHO, ASEAN dan sebagainya.
  2. Badan-badan kerajaan di peringkat nasional dan negeri seharusnya mengambil tanggung-jawab kerana semakin ramai di kalangan umat Islam Rohingya yang telah mendarat bagi mendapatkan perlindungan di Malaysia. Mereka adalah pendatang yang jauh lebih baik untuk dibantu dan disantuni jika dibandingkan dengan pelancong dari sesetengah negara yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan pelacuran.
  3. NGO dan badan kebajikan yang ada di Malaysia harus mengambil bahagian bagi meringankan bebanan yang dihadapi mereka yang sangat memerlukan bantuan di sudut sosial, ekonomi, kesihatan dan pendidikan. Tanpa status kewarganegaraan dan kesukaran mendapatkan status pelarian, mereka tiada akses ke sekolah-sekolah di Malaysia yang diselia kerajaan.
  4. Kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta menyebarkan maklumat tentang keperitan umat Rohingya yang berpanjangan.
Jika rakyat Malaysia begitu prihatin dan pelbagai NGO telah ditubuhkan bagi menangani masalah umat antarabangsa seperti Palestin, sejauh manakah pula kita peka terhadap isu Rohingya?

Tuesday 7 August 2012

Sabar Dalam Menghadapi Cubaan


Firman Allah: Wahai Orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Al- Baqarah, 2 : 153)

Seseorang yang dalam rangka meraih ridha Allah, memikirkan bukti-bukti yang menuntun kepada iman, memelihara perintah Allah, akhirat, kematian dan merenungkan nikmat yang telah Allah berikan kepadanya dalam kehidupan ini, balasannya akan mendapatkan pertolongan Allah.

Orang yang beriman tidak pernah lupa bahwa Allah telah menciptakan setiap situasi yang dialami manusia atau hamba di sepanjang hari-harinya. Tujuan penciptaannya tersebut agar kita bersabar atay menggunakan fikiran kita untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang paling disukai Allah, keadaan apa pun yang kita rasakan. Termasuk jika ada masalah yang tidak mampu yang harus dilakukan adalah bersabar.

Salah jika ada orang yang menganggap bahwa cubaan hanya muncul dalam bentuk kepedihan yang luar biasa dan tragedi sebagai ujian bagi kesabaran kita. Allah menguji manusia sepanjang hari dengan berbagai cobaan, baik yang besar maupun kecil.

Namun, dalam situasi ini, mereka yang hidup sesuai dengan ajaran Al-Quran tidak merasa jengkel dan tetap besabar tanpa berkeluh-kesah. Dalam Al-Quran, Allah menerangkan bahwa salah satu sifat orang beriman adalah tetap bersabar dengan cobaan yang datang kepada mereka.

Firman Allah: (Iaitu) orang-orang yang apa bila disebut nama Allah hati mereka bergetar, orang yang sabar atas apa yang menimpa mereka, dan orang yang melaksanakan solat, dan orang yang menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.” (QS Al-Hajj, 22:35).


Hasil Nukilan,
Muhammad Nur Akmal

Saturday 4 August 2012

Ramadhan - Habuan Dari Allah


Sedar tak sedar separuh dari Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, dan semakin hampir kita dengan hari bonus pada malam yang istimewa, Laila al-Qadr.

Lumrah manusia adalah berkehendak akan sesuatu, dan kebiasaannya tidak dapat memilikinya disebabkan kemampuan yang terhad lalu memerlukan bantuan dan pertolongan. Amat menyedihkan sekiranya manusia adalah yang pertama kita harapkan untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan itu. Sedangkan telah Allah nyatakan kesediaan dan sifat pemurahNya untuk membantu, sekiranya hamba-Nya BERDOA .

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad SAW) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat, Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu dan beriman kepada Ku agar mereka mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah, 2: 186)

Di dalam sebuah hadith juga menyatakan betapa pentingnya doa itu sehingga ia diibaratkan sebagai senjata mukmin. Bagaimanakah dapat seseorang menempuhi medan peperangan tanpa adanya senjata untuk mempertahankan dirinya?

Kebanyakan persepsi menganggap doa itu harus menadah tangan bersama dengan bacaan yang khusus dalam bahasa Arab dan dibaca selepas solat ataupun upacara tertentu. Namun jarang sekali disedari bahawa perkataan yang dituturkan seharian dalam bahasa apapun, malah lintasan hati juga boleh menjadi sebuah doa. Oleh kerana itulah kita digalakkan untuk mengucapkan salam dan membalasnya semula kerana itulah doa yang paling mudah.

Disebabkan itu juga diharuskan orang muslim untuk menutur perkataan yang baik dan juga berbaik sangka terhadap orang di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi tidak ada ruginya untuk mendoakan sesuatu yang baik kepada orang lain, sepertimana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith:

Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama." (Hadith Riwayat Muslim)

Agak malang sekiranya kita meninggalkan doa kerana merasakan tiada hasil daripada doa yang telah dititipkan. Ini kerana Allah lebih mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk kita dikurniakan dengan apa yang dipinta, atau sama ada diberi sesuatu yang lebih baik apa yang dipinta. Hendaklah kita sabar dan terus berusaha untuk tanpa putus asa memohon, seperti yang telah Allah firmankan:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2: 153)

Namun tidak dinafikan adanya golongan yang istimewa yang ditetap Allah agar tiada hijab bagi doa dan pasti akan menerima apa yang diminta, maka bergembiralah sekiranya kita tergolong dalam salah satu kumpulan itu.


Hasil Nukilan,
Mohd Hafizzudin Ismail