Thursday 13 December 2012

Hasil Yang Ranum

Firman Allah: "Dan bersabarlah (Muhammad) menunggu ketetapan Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pengawasan Kami, dan bertasbihlah  dengan memuji Tuhanmu ketika engkau bangun." (At-Tur, 52: 48)

Dalam firman Allah di atas, Allah menyarankan agar kita istiqamah bersabar menunggu ketetapan Allah. Hasil yang kita impikan dalam dakwah sememangnya tidak akan tiba serta merta dan pantas, dan dari situlah kita harus belajar untuk terus bersabar dan tidak gopoh dalam menuai hasilnya. Kegopohan dalam dakwah seringkali menyebabkan seorang dai'e hilang fokus mengenai keutamaan dakwah. Mereka yang gopoh pastinya tidak sabar-sabar melihat hasil padahal dakwah dan tarbiyah yang dijalankan masih belum cukup masak dan ranum. Tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah adalah bukti bagaimana hasil yang diperolehi untuk Islam menjadi Ustaziatul Alam memakan masa hingga beratus tahun.

Ikhwah dan Akhwat,
Teruskanlah bekerja dalam dakwah dan tarbiyah ini dan teruskanlah berdoa dan mengharap dari Allah. Usah bimbang jika hasil dakwah masih belum terbit kerana Insya Allah hasil yang ditunggu masih dalam proses untuk masak dan ranum, yang pastinya akan ranum-seranumnya apabila tiba waktunya.

Wallahua'lam.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Sunday 2 December 2012

Menjejaki Generasi Al-Quran (In The Footsteps of Quranic Generation)


Tarbiyah Islamiyah adalah langkah pendidikan, pembinaan dan pembentukan keperibadian yang teratur, terarah, sistematis dan terprogram secara berkesinambungan sepanjang hayat. Program tarbiyah Islamiyah bertumpu pada dua manhaj sehingga menjadi dapat menjadi program yang jelas iaitu manhaj 'ilmi (tu'allimuunal kitaab) dan manhaj 'amali (tadrusuun) sebagaimana firman Allah:

"Jadilah kamu generasi Rabbani - yang sempurna iman dan taqwanya, kerana kamu sentiasa mengajarkan kitab dan kerana kamu sentiasa mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)

Generasi Rabbani adalah generasi yang sentiasa melakukan tarbiyah sepanjang hidupnya. Bukan sekadar mengaji dalam erti membaca al-Quran, tapi lebih dari sekadar itu. Ia juga selalu menyampaikannya kepada orang lain, bahkan ia pun sentiasa mempelajarinya. Sehingga generasi rabbani inilah yang dikatakan oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik manusia.

"Sebaik-baik kalian adalah orang yang sentiasa mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain." (HR Bukhari)

Jadi, generasi rabbani secara automatiknya adalah generasi Al-Quran kerana akrab dengan Al-Quran, menjadi pembelajar dan pengajarnya.

Generasi Al-Quran ini disebut oleh Syed Qutub sebagai generasi unik, Jailul Qurani Al-Farid. Mengapa? Kerana Al-Quran menjadi ruhnya. Al-Quran keperibadiannya. Al-Quran sumber asasi hidupnya. Al-Quran pula yang merevolusi kehidupannya. Al-Quran akhlaknya. Sebagaimana beliau ungkapkan dalam kitab Ma'alim Fith Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan). Maka, bila kekuatan Al-Quran telah menyatu dalam peribadi muslim, maka ia akan menjadi peribadi yang unik dan dahsyat.

Generasi para sahabat menjadi contoh yang terbaik di mana golongan ini diakui sebagai generasi yang hebat dalam sejarah tamadun manusia. Apa rahsianya? Itulah generasi Al-Quran. Generasi yang seterusnya yang membawa kegemilangan Islam seperti Salahudin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh, juga merupakan generasi Al-Quran yang hebat.

Islam hanya bangkit apabila kita mencontohi dan menjejaki Generasi Al-Quran. Bukan hanya tahu dan hafal temanya sahaja tapi perlu dihadam dan diredam agar ianya benar-benar menjadi kenyataan.

Wallahua'lam


Rujukan: Quantum Tarbiyah, Solikhin Abu Izzuddin, Bina Insani Press Solo, 2006.



Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal