Sunday 28 October 2012

Menghayati Ibadah Korban


Firman Allah: “Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak. Maka, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu, dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Kausar, 108: 1-3)

Sambutan Hari Raya Aidil Adha merangkumi banyak ibadah terhadap Allah. Juga dipanggil Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban di mana, pada waktu itu sajalah terdapat pelaksanaan ibadah Haji dan ibadah Korban. Bagi yang berpeluang menunaikan Haji ke Baitullah, inilah peluang keemasan yang dinantikan untuk menyahut seruan Allah. Bagi yang tidak berpeluang, ibadah Korban juga adalah peluang untuk kita menggandakan ibadah kita kepada Allah.

Firman Allah: “Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu.’ Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, Insya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.’ Maka ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah).  Lalu Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (As-Saffat, 37: 102 – 108)

Firman Allah: “Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putra Adam, ketika kedua-duanya mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, ‘Sungguh, aku pasti membunuhmu!’ Dia (Habil) berkata, ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertakwa.” (Al-Ma’idah, 5: 27)

Bagaimana kita menghayati ibadah Korban ini? Dalam kedua-dua firman Allah di atas, kisah yang sering diabadikan mengenai ibadah Korban dan pastinya kisah ini akan kekal hingga akhirat. Keikhlasan dalam menunaikan ibadah termasuklah ibadah Korban menjadi syarat utama bagi memastikan ibadah kita diterima Allah. Nabi Ibrahim mempersembahkan Nabi Ismail (anaknya) untuk dikorbankan atas perintah Allah dan Habil mempersembahkan hasil ternakan yang terbaik bagi Allah.

Apa pula yang ingin dipersembahkan oleh kita di akhirat nanti? Jika komitmen kita pada pasangan, keluarga, pelajaran dan kerjaya menuntut kita melakukan yang yang terbaik, begitu jualah dengan apa yang ingin kita persembahkan kepada Allah. Ibadah Korban ini sebenarnya mendidik manusia menjadi manusia yang berTuhan. Bermula dari keikhlasan niat dalam beribadah sehinggalah hasil yang terbaik untuk diberikan kepada Allah.

Semoga dengan kisah-kisah Nabi Ibrahim dan anaknya beserta kisah putra Nabi Adam menjadi benchmark dalam kita melaksanakan ibadah kepada Allah. Usah menjadi manusia yang ‘cincai’ dalam melaksanakan ibadah kepada Allah tetapi haruslah kita meletakkan standard yang tertinggi dalam mencapai redha Allah.


Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Monday 22 October 2012

Aku Cintakan Kelelahan

Terlalu banyak kalimah Rabb yang termaktub di dalam kalam-NYA yang mencerita dan menjanjikan kemenangan yang sebenar bagi orang-orang yang berjuang dan memperjuangkan agama yang mulia ini. Ayat itu ayat ini..surah itu surah ini… Nah sudah cukup rasanya untuk menidakkan kehadiran kita di dalam barisan kemenangan ini  namun realiti hari ini menyaksikan orang kebanyakkan tidak sedar kedahsyatan tawaran ini yang mana jika dihebahkan sehingga faham, saya pasti manusia lebih tertarik untuk bersama dengannya. 

Lebih membarah sekiranya yang sudah kenal apa itu tarbiah dan sudah ‘masak’ dengan daurah dan khatibah, beranggapan sudah cukup baik sebenarnya berada dalam assabiyah kebaikkan, tidak perlu lebih-lebih. “Allah tidak membebani umatnya melebihi kemampuannya…” Kalau inilah hujah yang acapkali diulang-ulang, saya tidak mahu paksa, teruskan dengannya. Cuma anda sebenarnya sudah terlalu hampir namun tidak cukup untuk menikmati kelazatan kepenatan itu.

Namun suka untuk saya coretkan satu pesanan yang  saya kira cukup layak untuk si penuturnya menuturkan kata-kata ini.

 “Barangsiapa yang telah berazam dalam hidupnya, untuk hidup bersama dengan agamanya, maka dia akan hidup dalam kelelahan. Namun bagaimanapun (walau lelah) dia hidup dalam keagungan dan menjemput kematian dalam keagungan”.

Sosok tubuh yang saya mimpikan untuk jadi sepertinya ialah As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Rujuklah banyak bahan samada di internet mahupun buku-buku kisah perjuangan beliau yang telah menikmati kelelahan itu demi menegakkan agamaNYA sehinggakan 3 butir peluru berpandu Israel laknatullah pun mencemburuinya. Dengan kerusi roda dan selendang itulah beliau diarak ke sana ke sini memberi nur agama buat yang mendambakannya. Penghujung hidupnya bertemukan syahid yang kita semua heboh-hebohkan. Wah jelousnya!

Hidup seharian sebagai insan yang inginkan kebaikkan kepada umat memang memenatkan sehingga kadang-kadang si suami mengelah isteri mendengar juga sebaliknya, itu lumrah.Berpagian sehingga ke lewat malam ada sahaja perencanaannya. Bukan itu sahaja, kewangan juga merasai kelelahan itu sehinggakan cukup bulan duit simpanan sekadar cukup minum kopi di kedai mamak sahaja setelah banyaknya duit masuk ke poket dakwah.

Wah kesiannya. Hidup apa seperti ini? “

Namun yakinlah sudah ramai manusia hebat yang telah melalui kepayahan dan kepenatan ini dan mereka berjaya di neraca Allah. Bukankah itu juga yang kita cemburukan?

Ayuh bersemangatlah!

Pilihlah jalan yang terbaik untuk penghidupan anda di akhirat nanti. Inshallah mudah-mudahan kita jumpa di sana.


Hasil Nukilan,
Amir Farid Sabuddin