Dalam
mentadabbur Surah Al-Baqarah, ayat 246 - 251, beberapa perkara penting boleh
dijadikan pengajaran berdasarkan kisah Thalut dan Jalut.
A) IBRAH
DARI SIRAH
Sirah
yang diceritakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah semestinya ada ibrah di
sebalik peristiwa tersebut. Seperti sirah yang menggambarkan tentang dakwah
Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan lain-lain, semestinya mengandungi
ibrah untuk kita. Bukanlah saja-saja Allah mengungkapkan sirah di dalam
Al-Quran melainkan untuk dijadikan pengajaran untuk kita yang membacanya. Ibrah
kisah Thalut dan Jalut ini, secara keseluruhnnya, boleh digambarkan dalam ayat
yang sebelumnya.
Firman
Allah: "Barang
siapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan
ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan
kepada-Nyalah kamu dikembalikan." (Al-Baqarah,
2: 245)
B) CIRI - CIRI PEMIMPIN
Allah
menggariskan ciri-ciri pemimpin adalah mempunyai ilmu yang luas dan tubuh yang
perkasa iaitu bertetapan dengan dua ciri muwasofat tarbiyah iaitu Qawiyyul Jism
dan Muthaqaful Fikr.
Firman Allah: "....Mereka menjawab, 'Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, dan dia tidak diberi kekayaan yang banyak.'..." (Al-Baqarah, 2: 247).
Berdasarkan ayat ini, pemuka Bani Israil mempertikaikan pilihan Allah terhadap Thalut kerana merasakan mereka lebih berhak dari Thalut dan juga kerana mereka lebih kaya dan merupakan tokoh masyarakat, yang tiada cirinya pada Thalut.
Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi di dalam Tafsir Sya'rawi (Jilid 1) mengungkapkan bahawa ungkapan "padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya...", dapat difahami bahawa Thalut bukanlah tokoh masyarakat. Biasanya pemimpin dipilih dari tokoh masyarakat terkenal, makanya mereka menduga bahawa salah seorang di antara mereka akan terpilih. Tapi, Thalut yang berasal dari golongan biasa, bukan keturunan raja dan bukan pula tokoh masyarakat terpilih sebagai pemimpin.
Justeru itu, pemilihan Thalut sebagai pemimpin adalah dari Allah, bukannya hasil lantikan manusia. Maka sangat tepatlah pilihan Allah mengikut kemaslahatan mereka pada ketika itu apabila Thalut dilantik sekaligus ditokohkan sebagai tokoh dakwah dan tokoh masyarakat.
C) PERLAKSANAAN DAKWAH
Dalam
kisah ini, perlaksanaan dakwah memerlukan 4 unsur iaitu:-
Pertama - Modul:
Modul
dakwahnya ialah Thalut mengamalkan ajaran Taurat sebelum Zabur dikurniakan
kepada Nabi Daud.
Firman Allah: "...'Sesungguhnya tanda kerajaannya ialah datangnya Tabut kepadamu....'" (Al-Baqarah, 2: 248). Tabut ialah peti tempat menyimpan Taurat.
Maka, kondisi untuk berdakwah kini adalah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah yang tiada keraguan padanya. Maka, apa jua hujah atau ikutan yang kita laksanakan harus berpandukan ini.
Kedua - Murobbi:
Murobbi
dalam kisah ini ialah Thalut. Thalut yang dilantik sebagai pemimpin merupakan
murobbi kepada kepada semua pengikutnya.
Ketiga - Mutarobbi:
Mutarobbi
dalam kisah ini ialah pengikut Thalut yang perlu mematuhi apa saja arahan
murobbi mereka iaitu Thalut. Maka, dalam kondisi dakwah dan tarbiyah kita
sekarang juga memerlukan seorang murobbi untuk melaksanakan gerak kerja dakwah dan
mutarobbi sebagai pengikut dalam dakwah ini.
Keempat - Kaedah:
Kaedah
dakwah yang dilaksanakan ialah Thalut menguji tenteranya ketika kehausan di
kawasan sungai.
Firman Allah: "Maka ketika Thalut membawa bala tenteranya, dia berkata, 'Allah akan menguji kamu dengan sebuah sungai. Maka, barang siapa meminum (airnya), dia bukanlah pengikutku. Dan barang siapa tidak meminumnya, maka dia adalah pengikutku kecuali menceduk seceduk dengan tangan.' ...." (Al-Baqarah, 2: 249).
Kaedah inilah yang digunakan oleh Thalut untuk menguji kesetiaan, ketaatan dan kekuatan pengikutnya dalam menghadapi ujian. Seorang murobbi berhak melaksanakan pelbagai kaedah dakwah terhadap mutarobbinya dengan bertujuan untuk memperkuatkan dakwah itu.
D) TAPISAN DAKWAH
Di dalam
dakwah ini, gugur atau hanyutnya seorang dai'e di dalam dakwah ini adalah
perkara biasa. Boleh disimpulkan, itulah tapisan dalam dakwah yang akan menapis
golongan yang tidak sanggup bersama dalam dakwah ini. Di dalam kisah ini juga
menggambarkan beberapa tapisan dakwah terhadap kaum Bani Israil iaitu mereka
berpaling dari kewajipan berperang (Dalil - 2: 246), mereka mempertikaikan
perlantikan Thalut sebagai raja (Dalil - 2: 247), mereka melanggar arahan
dengan meminum air sungai dengan banyak (Dalil - 2: 249) dan mereka berpaling
apabila berhadapan dengan tentera Jalut (Dalil - 2: 249). Tapisan-tapisan ini
meninggalkan golongan yang sedikit tapi sangat-sangat kuat dan berkualiti
apabila berhadapan dengan musuh. Sebagai dai'e, kita harus yakin bahawa,
tapisan ini tidaklah meruntuhkan dakwah tapi sebenarnya memperkuatkan dakwah.
E) SIKAP DALAM DAKWAH
Beberapa
sikap yang positif boleh dijadikan ibrah untuk kita dalam berdakwah ini.
Pertama - Ketaatan:
Firman
Allah: "...
Tetapi mereka meminumnya kecuali sebahagian kecil di antara mereka..." (Al-Baqarah, 2: 249).
Kaedah yang dilaksanakan oleh Thalut sebenarnya sangat-sangat membantu dalam menilai ketaatan pengikut atau mutarobbinya. Jumlah yang sedikit ini lah yang biasa kita ungkapkan dengan golongan yang berkualiti.
Kedua - Yakin, Semangat dan Sabar:
Firman
Allah: "...
Mereka yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, 'Betapa banyak
kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah.' Dan Allah beserta
orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah,
2: 249)
Golongan yang taat dan sedikit inilah yang yakin akan pertolongan Allah yang mereka mampu mengalahkan jumlah lawan yang ramai. Apa jua cabaran dan apa jua halangan yang datang, perlulah bersemangat, sabar dan yakin akan kemenangan seperti yang dibuktikan oleh 313 orang Tentera Badar.
Ketiga - Hubungan Dengan Allah:
Firman
Allah: "Dan
ketika mereka maju melawan Jalut dan tenteranya, mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami,
limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami dan tolonglah kami
menghadapi orang-orang kafir." (Al-Baqarah,
2: 250)
Dengan kuasa manusia yang sangat terbatas, siapa lagi yang menjadi kekuatan atau tempat mengadunya seorang dai'e selain dari Allah. Allah saja yang mampu memenangkan dan mengalahkan sesuatu kelompok. Jika Allah dekat dengan kita, apa lagi yang perlu ditakutkan.
F) POTENSI DAKWAH
Firman
Allah: "Maka,
mereka mengalahkannya dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut...." (Al-Baqarah, 2: 251)
Syeikh Muhammad Mutawally Sya'rawi mensyarahkan bahawa seorang tentera harus memiliki keberanian dan ketika harus lari ke belakang, tidak lebih dari sekadar siasat perang untuk menyerang musuh dari sisi lain, kalau bukan demikian maka ia tergolong penakut. Jalut adalah pemimpin pasukan tentera kafir yang lari dan Daud mengejarnya lalu membunuhnya. Dalam kisah yang panjang ini, untuk pertama kali nama Daud muncul. Daud merupakan anak bongsu dari 10 bersaudara. Sebelum perang, nabi mereka berkata: "Barang siapa yang melawan Jalut harus menggunakan baju besi yang sesuai dengan ukurannya." Ayah Daud mencuba memakaikan baju itu kepada anak-anaknya dan tidak ada yang sesuai kecuali Daud. Merupakan takdir Allah di mana, orang yang paling muda dari orang mukmin membunuh pembesar musyrikin. Pertempuran ini merupakan lembaran baru bagi sejarah kehidupan Daud. Allah memberinya kerajaan dan hikmah, membuatnya ahli dalam merancang dan mahir membuat baju besi. Allah menjadikan besi lunak di hadapannya hingga beliau mampu merekabentuk besi sesuka hatinya (Dalil - 21: 80 dan 34: 10-11).
Seseorang itu ada potensinya dalam dakwah. Cuma, bagaimana harus digilap supaya ianya sangat-sangat bermanfaat dalam dakwah. Daud, dalam usia muda iaitu dalam lingkungan remaja, menyerlahkan potensinya dalam peperangan dengan Jalut, hinggakan tiba-tiba dirinya diangkat sebagai wira dalam peristiwa ini. Ungkapan seperti "From Zero To Hero" sangat-sangat tepat di mana dakwah ini sebenarnya mampu menggilap potensi seseorang ikhwah dan akhwat menjadi hero, meskipun dalam usia remaja. Usah kita memandang enteng potensi seseorang itu meskipun usianya sangat muda dan sangat remaja kerana itulah potensi tarbiyah yang sangat-sangat bernilai untuk dakwah pada masa kini dan masa hadapan.
Moga-moga kisah Thalut dan Jalut ini dapat memberikan kita ibrah dan perlu dimanfaatkan dalam kita menelusuri dakwah ini. Kisahnya pendek tapi sangat padat dengan pengajaran di dalam dakwah. Wallahua'lam.
Hasil Nukilan,
Mohd Saiful Iman, Mohd Izuan, Azhar, Muhammad Ridhwan,
Marwan, Muhammad Afif dan Abu Hanifah.
No comments:
Post a Comment